‘Duyong Bukan Milik Mana-Mana Parti, Biar Rakyat Tentukan’ – Poay Tiong

​MELAKA: Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bukan milik mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya rakyat di kawasan berkenaan yang berhak menentukan wakil mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

​Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, persaingan dalam sistem demokrasi adalah perkara biasa dan tidak perlu menimbulkan permusuhan atau kebencian antara satu sama lain.

​Kenyataan berkenaan hadir bagi mengulas reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dalam satu majlis baru-baru ini yang menyatakan sedia “lawan habis-habisan” susulan laporan berhubung hasrat DAP untuk mendapatkan semula kerusi berkenaan.

​”Bila ditanya tentang PRN yang akan datang, saya kata kita akan buat yang terbaik dan berusaha mendapatkan sokongan rakyat. Itu sahaja. Tetapi bila ia dilaporkan sebagai mahu ‘rampas’ Duyong, akhirnya timbul pula pelbagai reaksi dan kemarahan.

​”Bagi saya, tidak perlu sampai begitu. Kalau mahu bertanding, kita bertanding. Kalau mahu bersaing, kita bersaing. Bersainglah dengan dasar, dengan rekod kerja, dengan khidmat kepada rakyat. Tak perlu cipta musuh, tak perlu timbulkan kebencian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

​Poay Tiong berkata, beliau tidak takut untuk bersaing dan percaya pengundi di DUN Duyong cukup matang untuk menilai serta membuat pilihan sendiri.

​”Saya tidak takut untuk bersaing dan tidak marah kalau ada yang mahu bersaing dengan kita sebab dalam demokrasi, itu memang hak semua pihak.

​”Cuma satu perkara saya harap kita sama-sama jaga, jangan kerana pilihan raya, kita sampai bermusuh sesama sendiri.

“Kita boleh berbeza politik, boleh berlawan dalam pilihan raya, tetapi akhirnya kita semua masih mahu yang terbaik untuk rakyat Duyong,” katanya.

​Sebelum ini, Mohd Noor Helmy menerusi satu ucapan menegaskan sedia mempertahankan kerusi DUN Duyong sekiranya berlaku pertandingan pada pilihan raya akan datang.

BBerkaitan

Latest articles