‘Itu Bukan Tandatangan Hannah’ – Pegawai Jawab Isu Dokumen Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR: Tularnya dokumen yang didakwa sebagai perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak kini mencetuskan persoalan baharu apabila Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menafikan tandatangan yang tertera pada dokumen berkenaan adalah milik menteri itu.

Ahmad Fazli Mohd Yadi menyifatkan penyebaran dokumen berkenaan sebagai fitnah dan memaklumkan laporan kepada pihak berkuasa akan dibuat berhubung perkara itu.

Menurutnya, tandatangan yang dikaitkan dengan Hannah dalam dokumen tersebut bukan tandatangan rasmi menteri berkenaan.

“Saya menafikan bahawa itu tandatangan rasmi @hannahyeoh dan jelas ini adalah fitnah semata-mata. Itu bukan tandatangan Hannah.

“Saya akan buat laporan kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat,” katanya menerusi Threads.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap hantaran seorang pengguna media sosial yang mendakwa bersyukur kerana Najib akan diberikan perintah tahanan rumah.

Dokumen yang tersebar itu antara lain memaparkan tandatangan yang didakwa milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Hannah Yeoh.

Hannah sendiri turut menafikan pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang tular, selain menegaskan Lembaga Pengampunan masih belum bersidang ketika kenyataan itu dibuat.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan dokumen berkenaan.

Perkembangan itu berlaku ketika isu pengampunan Najib kembali menjadi perhatian selepas laporan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bersidang semula, kira-kira seminggu selepas permohonan berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat 11 September lalu.

Pada mesyuarat 11 September, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.

Hannah sebelum ini turut menjelaskan bahawa kuasa serta keputusan muktamad berkaitan pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

BBerkaitan

Latest articles