PRU15: PAS Pilih Logo Sendiri Di Kelantan, Terengganu, Kedah

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan parti itu akan terus menggunakan logo parti itu di Kelantan, Terengganu, Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Namun dalam masa yang sama, PAS berkemungkinan besar akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) sebagaimana mengambil semangat kerjasama yang ditetapkan parti itu, semalam.

“Sudah dimuktamadkan dan akan dibawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi PN,” katanya dalam wawancara dengan HarakahDaily, semalam.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada semalam berkata keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Susulan pendirian PAS bersama dengan Bersatu, ini sekaligus bermakna PAS menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjalinkan kerjasama pada PRU15.

Mengulas lanjut keputusan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan disebabkan PAS berdaftar sebagai PN, maka parti terbabit akan bersama gabungan berkenaan.

Malah, beliau berkata, PAS sudah menggerakkan kekuatan jentera PN peringkat negeri, dan perkara itu harus diteruskan.

“Oleh kerana mereka (UMNO) tidak hendak bersama (PN) dan mereka (UMNO) sudah membuat keputusan untuk bergerak solo, jadi kita… bersama PN.

“Sebab UMNO sudah membuat keputusan untuk solo banyak kali, mereka hendak solo. Oleh kerana mereka membuat keputusan hendak solo, jadi takkan kita hendak bersama dia?” katanya.

Mengulas keputusan PAS tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, Tuan Ibrahim berkata, pendirian itu dibuat kerana PAS tidak mahu terheret dengan kemarahan rakyat jika DUN dibubarkan.

“Isu kita di sini ialah rakyat marah dengan pembubaran Parlimen sekarang, dan kita tak mahu terheret sama dengan kemarahan rakyat jika kita membubarkan DUN.

“Kita juga perlu konsisten, malah kita sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan tidak bersetuju jika pilihan raya dibuat pada musim banjir,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan jika DUN tiga negeri itu dibubarkan nanti, ia akan bercanggah dengan apa yang sudah diputuskan.

“Oleh itu, kita konsisten dengan keputusan harian bahawa tiga DUN di tiga negeri terbabit tidak akan dibubarkan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membubarkan pada waktu ini.

“Soal kos dan sebagainya, kita akui tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar (Parlimen) pada waktu ini? Rakyat susah, kalau banjir berlaku. Kemudian sekolah akan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir. Kita bimbang, takut-takut kemarahan rakyat sekarang sangat ketara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles