PONTIAN: Selari dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, maka UMNO yakin tempoh masa pembubaran Parlimen akan berlaku di antara Oktober hingga Disember ini.
Perkara itu disuarakan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.L, sambil menambah bayangan diberikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semalam adalah petunjuk paling jelas mengenai PRU15 yang dimaklumkan secara umum dalam acara parti.
“UMNO yakin PRU15 akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember).
“Cuma kena cuba elak sebelum banjir. Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya.
“Kalau November pilihan raya, maknanya bubar (Parlimen) Oktober. Pengesahan Perdana Menteri dalam ucapan beliau semalam membolehkan parti membuat persiapan dan mencongak tarikh PRU15,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, hari ini.
Semalam, Ismail Sabri ketika melancarkan Jentera Pemuda UMNO, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, berkata ‘sedikit masa’ lagi diperlukan bagi memberi laluan kepada PRU15 selain berjanji untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ mengenai pembubaran Parlimen.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengesahkan pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ UMNO yang dijadualkan pada 30 September ini akan diteruskan.
Katanya, walaupun ‘Top Five’ sering bertemu secara tidak rasmi serta tidak diumumkan secara terbuka di media, pertemuan pada 30 September itu akan diteruskan seperti sudah dirancang.
“Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ secara tidak rasmi.
“Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat ‘Top Five’ diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.
“Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi ‘Top 5’ di luar,” katanya.