SEGAMAT: “Cuma kita tak sekaya parti-parti lain sebab itu ia tidak besar,” demikian menurut Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila diajukan gabungan parti pembangkang berkenaan semakin ‘tenggelam’ dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Dakwaan itu timbul apabila ramai pihak melihat kempen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) lebih menonjol.
“Saya tengok gerakan (kempen) saya okay. Kenapa perhati semua sekali.
“Kalau tengok dalam report(laporan) kempen bergerak, cuma kita tak sekaya parti-parti lain sebab itu ia tidak besar,” katanya ketika menyertai kempen PKR di Felda Medoi di Segamat, hari ini.
Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata PH akan mengumumkan calon Menteri Besar Johor tidak lama lagi, memandangkan mesyuarat mengenai perkara ini sudah diadakan.
“Tetapi akan ada satu lagi mesyuarat PH dalam beberapa hari lagi kerana Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution positif Covid-19,” tambahnya.
Dalam pada itu, Anwar mendakwa kehadiran PH dalam kalangan masyarakat peneroka Felda semakin diterima baik berbanding dahulu.
“Kalau dulu langsung tak boleh.
“Saya tengok sekarang dah boleh masuk, tengok di Buloh Kasap tadi, saya disambut baik oleh penduduk tempatan,” katanya.