AMANAH Pula Beri Syarat Jika UMNO Nak Kerjasama

Nampaknya soal kerjasama politik yang membabitkan UMNO dan parti lain telah menimbulkan pelbagai dakwaan dan spekulasi.

Beberapa pemimpin UMNO menafikan wujudnya perbincangan kerjasama dengan PKR seperti yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kini AMANAH pula memberi ‘syarat’ kerjasama yang mungkin dilakukan UMNO bersama pihak pembangkang, iaitu menggesa parti itu berubah dan insaf termasuk perlu menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, selagi UMNO tidak kembali ke pangkal jalan, masih tebal dengan politik rasuah, salahguna kuasa dan kleptokrasi, pihaknya tetap kekal dengan prinsip dan matlamat yang jelas.

“Saya ulangi sejarah AMANAH. Parti ini ditubuhkan kerana PAS ketika itu hendak bekerjasama dengan UMNO yang mana 18 daripada 24 pemimpin Pas dalam jawatankuasa pusat telah membantah dan tidak bersetuju.

“Namun, kerjasama dengan UMNO dilakukan juga oleh pimpinan PAS secara belakang tabir. Apabila kita dapat tahu dan bantah, kita dijatuhkan hukum pada Muktamar PAS Pusat tahun 2015.

“Serentak itu juga PAS putuskan hubungan dengan DAP dan secara automatik keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan kami tubuhkan parti AMANAH,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu mendakwa kerjasama UMNO dan PH hanya akan mengulangi sejarah PR sekiranya tidak ditangani dengan baik.

“Kerana ianya mungkin strategi UMNO untuk melaga-lagakan kami,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini tidak ada apa-apa perbincangan antara parti itu dengan UMNO.

Dakwa Khalid ada ura-ura menyatakan kerjasama dengan UMNO akan dilakukan selepas PRU15.

“Kalau UMNO sanggup terima Anwar sebagai perdana menteri, tidak perlu tunggu PRU15. Sekarang ini, isytihar Anwar sebagai perdana menteri, terus kita akan dapat ambil balik kerajaan. Kenapa perlu tunggu sehingga selepas PRU-15?” soalnya.

Beliau juga percaya PRU15 tidak mungkin diadakan dalam tempoh terdekat ini, berdasarkan Perikatan Nasional (PN) sedang galak ‘membeli’ ahli Parlimen dalam kalangan pembangkang.

“Kalau PRU dekat iaitu Jun atau Ogos ini, tidak ada sebab kukuh untuk PN ‘membeli’ ahli Parlimen kerana perbuatan itu akan membazirkan wang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles