Terlalu Berlebihan Ajar Subjek Islam Di Sekolah Seperti Semua Pelajar Nak Jadi Ulama

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pelajar Melayu terpinggir dari sistem pendidikan negara akibat sistem yang memberi tumpuan melampau terhadap subjek agama Islam.

Dakwanya lagi, pengajaran agama yang terlalu berat seolah-olah mahu melahirkan setiap murid sebagai ulama, sedangkan apa yang lebih penting pada hari ini adalah pendedahan kepada subjek sains dan teknologi.

“Namun, pada masa ini, mereka sedang menambah waktu pengajaran dan jumlah pelajaran untuk mengajar Islam sehingga melebihi apa yang diperlukan oleh (pelajar) orang Islam biasa.

“Ia seolah-olah setiap pelajar akan menjadi ulama. Ini tentunya bukan tujuan kami.

“Natijahnya, mereka tidak akan menguasai bidang lain, khususnya sains dan matematik yang amat penting untuk memperolehi mata pencarian,” katanya memetik wawancara eksklusif bersama FMT.

Untuk rekod Dr Mahathir yang pernah menjadi menteri pelajaran bawah pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Dr Mahathir kemudiannya berkata perlu adanya keseimbangan dalam nilai-nilai Islam dan juga penguasaan akademik, demi menjamin masa depan mereka di alam pekerjaan.

Beliau berpendapat tumpuan berlebihan

kepada Islam dalam kurikulum pendidikan adalah agenda “menteri tertentu dan pegawai awam” dalam menyebarkan Islam.

“Mereka ini mempunyai tafsiran sendiri mengenai apa yang diperlukan di sekolah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai Islam,” kata beliau.

Ahli Parlimen Langkawi itu mengaitkan dakwaan itu dengan cubaan penggubal dasar meraih sokongan kaum Melayu demi kelangsungan politik.

“Di Malaysia, sebagai contoh, masyarakat Melayu amat warak. Mereka mahu belajar agama tetapi agama tidak menjadikan mereka layak untuk kerja sebagai jurutera atau peguam,” katanya lagi.

Meskipun subjek sastera liberal amay diminati dalam kalangan orang Melayu namun hakikatnya, menurut Dr Mahathir, ia tidak menjamin penerimaan majikan jika pelajar skor subjek berkenaan.

“Tumpuan sekarang adalah teknologi. Jika anda tidak belajar teknologi, anda tidak akan memperolehi pekerjaan. Jika anda menceburi bidang sejarah, bahasa atau sepertinya, anda tidak akan memperolehi pekerjaan.”

Dalam masa yang sama Dr Mahathir menekankan bahawa sistem pendidikan kini membawa peranan lebih besar untuk membentuk keperibadian baik sebagai persediaan untuk generasi muda menjadi pemimpin di masa hadapan, apatah lagi ibu bapa pada hari ini kebanyakkannya bekerjaya.

“Dahulu, ibu bapa akan mengajar anak mereka mengenai nilai-nilai baik…seperti jangan mencuri, jangan melakukan perkara dosa, dan seumpamanya.

“Namun sekarang (banyak) ibu-bapa bekerja dan tidak dapat meluangkan masa cukup untuk membimbing anak mereka. Jadi bimbingan ini mesti diperolehi dari peringkat tadika lagi,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir mendakwa beliau percaya bahawa kejayaan kepada seseorang individu datangnya dari hasil bekerja keras.

“Mereka yang hanya mahu mendapatkan duit percuma daripada kerajaan, tidak akan berjaya,” kata Mahathir.

BBerkaitan

Latest articles