Diskriminasi Minyak Sawit: M’sia Sertai Indonesia Saman EU

Malaysia mengambil langkah seperti Indonesia sebagai negara yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) susulan tindakan diskriminasi blok ekonomi itu terhadap produk keluaran kedua-dua negara menerusi kempen anti minyak sawit.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau memaklumkan kepada Presiden Indonesia mengenai usaha Malaysia memfailkan tindakan undang-undang terhadap EU pada 15 Januari lalu di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), sama seperti yang dilakukan Indonesia pada Disember 2019.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak Indonesia dalam isu diskriminasi minyak sawit terutama memperkasakan Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC),” katanya dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena lawatan rasmi ke Indonesia, hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia dan Indonesia menzahirkan kebimbangan mengenai kempen anti-minyak sawit yang berlaku terutama di Eropah, Australia dan Oceania.

Perdana Menteri berkata, kedua negara sependapat kempen anti-minyak sawit itu tidak berasas dan tidak menggambarkan kelestarian industri sawit dunia serta bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai amalan perdagangan bebas.

BBerkaitan

Latest articles