Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun terhadap seorang suri rumah kerana mencuri wang milik jirannya.
Mengikut kertas pertusuhan, D Mogana, 24, dari Kuala Pilah, bertindak memecah masuk rumah jiran dan mencuri RM50,000 sebelum melarikan diri ke Kuala Lumpur.
Dengan wang itu, dia membeli barang kemas manakala bakinya pula diserahkan kepada ibu mentua kononnya ia hasil kemenangan loteri.
Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu terhadap Mogana yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Tertuduh didakwa melakukan pecah rumah dengan memasuki rumah didiami R Letchmee, 78, dan mencuri wang tunai RM50,000 tanpa izinnya di sebuah rumah di Taman Bahagia Delima, di sini, pada 21 Januari lalu, 7 pagi.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.