SPRM Tahan Anggota Armada

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota Pemuda Bersatu (Armada) lewat malam tadi dan ketua penerangannya, Ulya Husamudin menjangkakan lebih ramai anggota sayap itu akan turut ditahan.

Menurut laporan Portal Malaysiakni,  Ulya dilaporkan berkata anggota berkenaan dipanggil untuk hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan dakwaan sebelum dia ditahan.

“Mereka kata bahawa ia adalah siasatan berkaitan akaun pemuda Bersatu,” katanya.

Dalam kenyataan rasmi, beliau mendakwa bahawa penahanan tersebut bertujuan ‘mendiamkan’ anggota parti yang sebelum ini mempersoalkan pucuk pimpinan parti.

“Armada berharap pihak SPRM akan melaksanakan siasatan yang adil dan telus terhadap pimpinan Armada tanpa berat sebelah.

“Armada percaya penahanan ini satu bentuk tekanan untuk mendiamkan ahli Armada yang sebelum ini bersuara dan berbeza pandangan dengan pimpinan atasan parti,” katanya.

Ulya terdahulu membuat hantaran di Facebook mendakwa bahawa anggota yang ditahan itu telah ‘mendedahkan’ rakaman audio bahawa presiden parti merangkap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin “memikat” anggota parlimen Umno dengan jawatan menteri atau jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menyertai Bersatu.

Muhyiddin juga adalah presiden Bersatu, parti yang sedang dilanda masalah dalaman susulan pergelutan kuasa di antaranya dengan pengerusi parti yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad.

“Pimpinan Armada sedang ditahan satu persatu. Kononnya untuk siasatan tapi tiada jelas pun pertuduhan,” katanya dalam Facebook.

“Segala perbelanjaan dan sumber kewangan sebelum ini sentiasa dimaklumkan kepada Pengerusi dan Presiden. Peguam sudah siap siaga.

“Ini mereka yang telah dedahkan dan mohon SPRM siasat audio agihan GLC oleh Tan Sri Muhyiddin. Yang dedahkan kemungkaran pula ditahan dan ditekan,” katanya.

Ulya dan ketua Armada yang dipilih Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpihak kepada Dr Mahathir.

Mahathir dan Syed Saddiq sebelum ini diumumkan gugur keahlian Bersatu. Kedua-dua pemimpin itu mencabar keputusan tersebut.

Syed Saddiq dijangka akan membuat kenyataan berhubung penahanan ini dalam masa terdekat.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan ulasan berhubung dakwaan itu.

BBerkaitan

Latest articles