42 Peratus Rakyat Malaysia Hilang Pekerjaan Pada Suku Pertama 2020 – PERKESO

Malaysia mencatatkan peningkatan sehingga 42 peratus bagi kehilangan pekerjaan untuk suku pertama tahun ini.

Menerusi laporan ‘Employment Outlook, the 1st Quarter of 2020, Volume 4/2020, The Impact of COVID-19 on Loss of Employment (LOE)’ yang diterbitkan oleh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Petubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan pelbagai sektor perniagaan sehingga mengalami penurunan permintaan sebanyak 37 peratus atau tidak dapat beroperasi seperti biasa (42 peratus).

“Trend ini hanya dijangka meningkat dari April 2020, dengan kehilangan pekerjaan meningkat 50 peratus kepada 200 peratus tahun ke tahun bagi setiap suku berikutnya pada 2020,” menurut laporan itu.

Menyentuh kadar pengangguran, laporan itu menjangkakan peningkatan sehingga empat peratus berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018.

Kadar pemberhentian pekerja juga bagaimanapun dijangka sama ketika negara menghadapi krisis kewangan Asia pada 1997 berikutan langkah pencegahan menerusi Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU) yang diambil kerajaan untuk mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

“Kadar pengangguran belia kekal stabil pada tahap lapan ke 11 peratus. Bagaimanapun, mereka adalah demografi usia yang paling mudah terdedah kepada pemberhentian pekerja.

“Data LOE menunjukkan 61 peratus kehilangan pekerjaan adalah dalam kalangan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah, dengan 31 hingga 40 tahun menyumbang 32 peratus manakala pekerja di bawah 30 tahun sebanyak 29 peratus.

“Pekerja lelaki lebih cenderung diberhentikan kerja berbanding pekerja wanita iaitu 60 peratus, ini menggambarkan kenyataan bahawa terdapat lebih ramai pekerja lelaki daripada wanita dalam tenaga kerja,” menurut laporan itu.

Beberapa langkah penjimatan dilakukan oleh majikan yang tidak memberhentikan pekerja mereka, antaranya dengan mengurangkan gaji terutama di kalangan mereka yang telah bekerja lebih dari lima tahun.

Laporan itu turut menyebut pemberhentian kerja dengan kadar tinggi melibatkan negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Selangor yang paling tinggi dengan 32 peratus, namun perlu diperhatikan bahawa 30 peratus daripada kesemua pekerjaan berada di Selangor, mewakili peningkatan enam peratus berbanding 2018. Lebih membimbangkan adalah Kedah yang menyumbang satu daripada enam kehilangan pekerjaan walaupun menempatkan sejumlah kecil majikan.

“Kehilangan pekerjaan di Johor kebanyakannya dalam sektor perkilangan dengan 37 peratus dan industri berkaitan pelancongan sebanyak 36 peratus,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan di negeri seperti Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan, kehilangan pekerjaan tertumpu kepada industri berkaitan pelancongan manakala negeri lain termasuk Putrajaya membabitkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Sarawak (pembinaan), Pahang (sektor lain yang tidak dikelaskan), Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Terengganu (semua pembuatan).

“Rata-ratanya, setiap majikan mempunyai 15 pekerja asing untuk setiap pekerja yang diberhentikan. Nisbahnya lebih tinggi di syarikat besar dengan lebih 200 pekerja dengan 69 pekerja asing bagi setiap pekerja yang diberhentikan,” menurut laporan itu.

Kehilangan pekerjaan berdasarkan negeri dan Wilayah Persekutuan membabitkan sektor pembinaan, kewangan dan insurans, ICT, pembuatan, profesional dan teknikal, berkaitan pelancongan dan sebagainya, merekodkan Selangor sebanyak 6,128, Kuala Lumpur (4,959), Johor (1,457), Kedah (1,297), Pulau Pinang (1,296), Sabah (1,183), Sarawak (845), Perak (727), Pahang (428), Melaka (284), Kelantan (196), Terengganu (171), Negeri Sembilan (159), Perlis (55), Labuan (38) dan Putrajaya (17).

KOMEN

BERKAITAN

POPULAR

Media Sosial

29,272FansLike
0MembersFollow
48,300FollowersFollow
0FollowersFollow
9,238FollowersFollow
10,400SubscribersSubscribe

Terkini