Ismail Pilih Berdiam Diri, Enggan Ulas Peletakan Jawatan MB

SEREMBAN: Teka-teki di sebalik peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas hanya 106 hari menerajui kerajaan negeri terus menjadi tanda tanya apabila beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai keputusan mengejut itu.

Ismail sekadar memaklumkan tiada sidang media atau kenyataan rasmi akan dikeluarkan berhubung perkara berkenaan.

“Maaf… tiada pc (sidang media) atau press statement (kenyataan media) dari saya. Terima kasih atas kerjasama dan persahabatan,” katanya.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh turut meminta ruang untuk menguruskan beberapa urusan pentadbiran sebelum membuat sebarang kenyataan lanjut.

Peletakan jawatan itu disahkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menerusi kenyataan lewat petang semalam.

Zambry berkata, Ismail sudah mengutuskan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November. Salinan surat berkenaan turut diterima Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Keputusan itu mengundang persoalan mengenai faktor sebenar yang mendorong Ismail melepaskan jawatan, khususnya ketika krisis adat dan pentadbiran negeri masih belum menemui penyelesaian tuntas.

Ini kerana, beberapa hari sebelum peletakan jawatan itu, Ismail memaklumkan bahawa rundingan bagi menyelesaikan krisis berkenaan menunjukkan perkembangan positif.

Malah, beliau turut menyatakan komitmen memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicadangkan pada 26 November ini serta pembentangan Belanjawan Negeri 2027 dapat diteruskan.

Bagaimanapun, pada Sabtu lalu, Ismail mengesahkan beliau bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sudah menghantar surat menarik balik persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan sama, timbul spekulasi Ismail mungkin dinasihatkan pihak tertentu supaya melepaskan jawatan.

Sumber mendakwa Ismail sebenarnya tidak bersedia berundur dan mahu menyelesaikan kemelut yang melanda negeri itu sebaik mungkin.

Malah, beliau dikatakan sudah memperoleh tarikh menghadap Tuanku Muhriz bagi menyembah maklum mengenai cadangan tarikh persidangan DUN akan datang.

“Ikutkan tarikh menghadap (Tuanku) dah ada. Tak tahulah, kami pun terkejut dengan peletakan jawatan beliau ini,” kata sumber.

Untuk rekod, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ADUN Senaling dan Juasseh, selain memegang pelbagai portfolio EXCO kerajaan negeri sejak 1999 hingga 2026.

BBerkaitan

Latest articles