Zambry: TVET Buka Laluan Kejayaan Untuk Semua, Bukan Hanya Pelajar Cemerlang Akademik

SEREMBAN: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) kini menjadi laluan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir, sekali gus membuktikan kejayaan tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata.

Beliau berkata, persepsi lama yang meletakkan TVET sebagai pilihan kedua perlu diubah kerana setiap individu mempunyai bakat dan kelebihan tersendiri yang boleh digilap menerusi pendidikan teknikal.

“Sebelum ini tidak ramai memberi perhatian kepada TVET. Kebanyakan pelajar selepas SPM hanya memikirkan untuk masuk universiti berdasarkan keputusan peperiksaan mereka.

“Tetapi kita perlu sedar ada satu lagi laluan yang sangat penting iaitu TVET, yang membuka peluang kepada mereka yang mempunyai bakat dalam bidang teknikal dan kemahiran,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah TVET MARA, hari ini.

Menurut beliau, seseorang yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak bermaksud mereka kurang bijak, sebaliknya mungkin memiliki potensi besar dalam bidang kemahiran dan teknikal.

“Jangan sesekali menganggap seseorang itu tidak pandai hanya kerana keputusan akademiknya tidak sebaik orang lain. Setiap manusia dikurniakan kelebihan masing-masing dan tugas kita ialah menyediakan ruang untuk mereka mengembangkan potensi itu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini telah menyediakan laluan pendidikan yang lebih tersusun bagi graduan TVET untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Katanya, lepasan TVET boleh menyambung pengajian ke Kolej Komuniti, politeknik dan seterusnya ke rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN), selain Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang turut berperanan sebagai universiti berteraskan teknikal.

“Tiada lagi sekatan. Laluan pendidikan telah dibuka seluas-luasnya. Mereka boleh bermula daripada institusi TVET dan akhirnya menjadi jurutera atau profesional dalam bidang masing-masing,” katanya.

Zambry berkata, graduan TVET kini bukan sahaja mendapat gaji permulaan yang kompetitif, malah ramai dalam kalangan mereka berjaya memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 sebulan selepas mempunyai pengalaman dalam industri.

“Ini bukan teori. Ia berdasarkan laporan dan kejayaan sebenar graduan yang dilahirkan oleh institusi TVET di negara ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa transformasi TVET yang sedang dilaksanakan kerajaan bertujuan memastikan lebih ramai anak muda memperoleh peluang pekerjaan berkualiti selaras dengan keperluan industri negara.

Dalam pada itu, Zambry merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas usaha memacu agenda TVET negara melalui pelbagai pembaharuan dasar yang memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional.

Katanya, komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan TVET akan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk membina kerjaya berpendapatan tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

BBerkaitan

Latest articles