KUALA LUMPUR: UMNO mengumumkan penutupan rasmi Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah sumbangan orang ramai mencapai sasaran, susulan penyelesaian pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu turut mengesahkan semua urusan pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah diselesaikan pagi ini.
Beliau berkata, penutupan akaun khas berkenaan dibuat selepas dana yang dikumpulkan menerusi inisiatif pendanaan awam itu mencukupi bagi tujuan pembayaran denda berkenaan.
“UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tabung berkenaan dilancarkan pada 18 September lalu bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan untuk membantu Najib menyelesaikan denda RM50 juta yang dikenakan dalam kes penyelewengan dana SRC International.
Terdahulu, Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda berkenaan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Pegawai khasnya, Ahmad Lutfi Azhar hadir di mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi bagi menguruskan pembayaran serta melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum transaksi itu dimuktamadkan.
Pembayaran denda itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Pengampunan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.










