Zahid Setuju Pengerang Jadi Daerah Baru, Bina Hospital

PENGERANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan terhadap cadangan menjadikan Pengerang sebagai sebuah daerah baharu, selain menyifatkan pembinaan sebuah hospital di kawasan itu sebagai keperluan mendesak berikutan peningkatan jumlah penduduk.

Beliau berkata, cadangan untuk membina hospital baharu itu akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan pertimbangan lanjut.

Menurut Zahid, kewujudan hospital di Pengerang amat wajar bagi memastikan keperluan kesihatan penduduk setempat dapat dipenuhi dengan lebih berkesan.

“Adalah sangat munasabah sebuah hospital baharu diwujudkan bagi menyantuni serta menangani keperluan pesakit di kawasan Pengerang.

“Saya juga menyokong permohonan untuk menjadikan Pengerang sebagai sebuah daerah baharu seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen Pengerang sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih KEJORA di Lotus Desaru, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Zahid berkata, kedua-dua cadangan itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang dilaksanakan bersama kerajaan negeri bagi memperkukuh pembangunan Pengerang.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan prestasi KEJORA yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

Katanya, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu berjaya merekodkan prestasi cemerlang, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program pembangunan luar bandar yang diharap dapat dikekalkan pada masa akan datang.

BBerkaitan

Latest articles