​Projek Kerbau Tenusu Raub, Perikanan Moden Transformasi Ekonomi Pahang

​KUALA LUMPUR: Usaha memodenkan sektor agromakanan negeri Pahang digerakkan secara agresif menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuk pembangunan Pahang Barat Dairy Valley di Raub serta pemerkasaan industri perikanan moden bersandarkan model kejayaan di Eropah.

​Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lawatan kerja rasmi beliau ke Itali dan Sepanyol baru-baru ini memberikan gambaran jelas bagaimana rantaian industri moden dan tersusun boleh dibangunkan secara menyeluruh di negeri ini tanpa hanya bergantung pada kaedah konvensional.

​Menerusi siri lawatan ke Salerno, Itali, beliau berkata delegasi negeri mencedok pengalaman berharga mengenai cara industri kerbau tenusu dibangunkan secara moden dan tersusun.

​”Lawatan ke Itali beri gambaran jelas bagaimana industri kerbau tenusu boleh dibangunkan secara moden dan tersusun.

“Kita lihat keseluruhan rantaian, iaitu baka, pemakanan, pengurusan ladang, pemerahan, penyejukan dan pemprosesan susu,” katanya dalam sesi wawancara khas The Rakyat Insight.

​Bagi merealisasikan perancangan tersebut di Pahang, jelasnya, kerajaan negeri telah memeterai kerjasama strategik antara AGK Dairy Fresh dengan syarikat Rota Guido S.R.L. dari Itali.

“Pada peringkat awal, pihak pentadbiran merancang untuk membawa masuk sekitar 100 ekor kerbau tenusu bagi memulakan projek rintis di Pahang Barat Dairy Valley, Bukit Kajang, Raub.

​”Kita mahu bukan sekadar menternak, tetapi membina rantaian industri lengkap daripada baka hingga produk tenusu bernilai tambah. Kita akan bawa pulang baka, teknologi, kepakaran dan model pengurusan yang sesuai dengan keadaan Pahang,” jelas beliau lagi.

​Selain sektor penternakan, kunjungan delegasi ke Vigo, Sepanyol pula membuka lembaran baharu dalam memajukan industri perikanan tempatan menerusi rantaian industri yang bersepadu.

​”Vigo menunjukkan bagaimana industri perikanan dibangunkan melalui rantaian industri yang lengkap.

“Bukan sekadar tangkap dan jual ikan, tetapi melibatkan pendaratan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan dan produk hiliran,” tambahnya.

Ujarnya, ​pendekatan ini disifatkan amat relevan dengan kedudukan Pahang sebagai antara pusat pendaratan ikan utama di Pantai Timur Malaysia.

“Menerusi inisiatif ini, lebih banyak hasil laut akan diproses terus di negeri ini bagi menghasilkan pelbagai produk hiliran seperti makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan (ready-to-eat), makanan dalam tin serta produk berasaskan ikan.

​”Matlamatnya, ikan dari Pahang, diproses di Pahang, menjadi produk Pahang dan dipasarkan lebih luas. Ini akan meningkatkan nilai ekonomi serta membuka peluang kepada nelayan, usahawan, industri pemprosesan dan pekerjaan baharu,” tegasnya.

​Beliau menegaskan bahawa pengajaran paling utama ialah keperluan melihat keseluruhan rantaian industri secara holistik.

​”Secara keseluruhan, lawatan yang bermula sejak 20 September lalu sangat memberi manfaat kepada Pahang.

“Pengajaran utama kita perlu melihat keseluruhan rantaian industri, bukan satu aspek sahaja… Kita tidak mahu meniru bulat-bulat, tetapi mengambil perkara yang sesuai dan menyesuaikannya dengan Pahang.

“Yang kita bawa pulang ialah ilmu, teknologi, kepakaran dan model pengurusan. Paling penting, kita mahu ia diterjemahkan kepada projek, pelaburan dan kerjasama yang nyata di Pahang.

“Matlamat akhirnya tingkatkan nilai ekonomi, buka peluang kepada rakyat dan modenkan sektor pertanian, penternakan serta perikanan Pahang,” kata beliau.

BBerkaitan

Latest articles