KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyambut positif kesediaan PAS untuk membantu membentuk kerajaan Johor sekiranya gabungan itu gagal memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara ringkas mengalu-alukan kenyataan tersebut ketika ditemui media selepas menghadiri satu program.
“Baguslah, baguslah, insya-Allah,” katanya.
Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyatakan parti itu bersedia memberi sokongan kepada BN termasuk menyumbangkan kerusi sekiranya keputusan PRN tidak membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan secara sendiri.
Menurut beliau, PAS juga tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar mahupun portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sebaliknya memberi ruang kepada wakil rakyat BN mengisi keseluruhan pentadbiran negeri.
Bagaimanapun, pendirian itu dilihat tidak selari dengan rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), apabila Bersatu menegaskan gabungan tersebut belum membuat sebarang keputusan untuk menyokong sama ada BN atau Pakatan Harapan (PH) sekiranya berlaku situasi Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata Majlis Tertinggi PN setakat ini tidak pernah memutuskan sebarang bentuk kerjasama bagi menyokong mana-mana gabungan selepas pilihan raya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang kenyataan yang menyatakan sokongan kepada UMNO, BN, DAP atau PH hanyalah pandangan individu tertentu dan bukan pendirian rasmi PN.
Dalam perkembangan sama, laporan media berbahasa Cina memetik Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang memberi jaminan bahawa PAS tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri sekiranya BN kembali diberi mandat mentadbir Johor.
Menurut Onn Hafiz, kedudukan itu kekal dan PAS tidak akan berada dalam kerajaan negeri “dalam apa jua keadaan sekalipun”.










