Dewan Rakyat Lulus RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh tadbir urus, integriti dan keselamatan ekosistem sukan negara.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan pindaan terhadap Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] itu mengambil kira perubahan landskap sukan yang semakin kompleks serta pengalaman pelaksanaan akta berkenaan sepanjang hampir tiga dekad.

Menurut KBS, pindaan itu turut bertujuan merapatkan jurang pelaksanaan yang dikenal pasti bagi memastikan kerangka perundangan pembangunan sukan negara kekal relevan, jelas dan berkesan dalam mendepani keperluan serta cabaran semasa.

“Antara aspek utama yang perlu diperkukuh ialah memperjelas kuasa dan fungsi Pesuruhjaya Sukan, memperkukuh tadbir urus dan pemantauan badan sukan serta memperkemas pengurusan aset, hutang dan liabiliti badan sukan yang pendaftarannya dibatalkan.

“Selain itu, mekanisme penguatkuasaan dan penyiasatan turut diperkukuh, termasuk asas perundangan berkaitan anti-doping, sukan selamat dan fi perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

KBS berkata, pindaan berkenaan memperkenalkan beberapa penambahbaikan bagi mewujudkan kerangka pengawalseliaan yang lebih jelas, berkesan dan menyeluruh, selain meningkatkan akauntabiliti serta tahap pematuhan dalam ekosistem sukan negara.

Dalam pada itu, pindaan tersebut turut menyediakan mekanisme untuk menangani keadaan luar biasa sekiranya sesebuah badan sukan digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau bertentangan dengan kepentingan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau kemoralan.

Bagaimanapun, KBS menegaskan kuasa berkenaan bukan boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya kerana pelaksanaannya tertakluk kepada syarat dan ambang yang diperuntukkan undang-undang serta proses pertimbangan sewajarnya.

“Prinsip semak dan imbang akan terus menjadi asas penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara objektif, berasaskan dan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pindaan berkenaan bertujuan memelihara autonomi badan sukan, di samping memastikan kebebasan tersebut bergerak seiring dengan prinsip akauntabiliti, integriti dan kepentingan awam.

“Sukan hari ini tidak hanya soal pertandingan dan pencapaian pingat. Ia melibatkan integriti, keselamatan atlet, tadbir urus organisasi serta keyakinan rakyat terhadap institusi sukan negara.

“Justeru, undang-undang kita juga perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman,” katanya.

KBS berpandangan pindaan Akta 576 itu merupakan langkah penting ke arah membentuk ekosistem sukan Malaysia yang lebih profesional, telus dan berintegriti.

Pada masa sama, kementerian menegaskan kebajikan atlet serta kepentingan semua pihak berkepentingan akan terus diberi perhatian.

KBS turut akan bekerjasama dengan badan sukan, atlet, pemegang taruh industri dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan undang-undang berkenaan kelak dapat menyokong pembangunan sukan negara secara menyeluruh.

BBerkaitan

Latest articles