JOHOR BAHRU: Semua sekolah, tadika dan taska di seluruh daerah ini diarahkan tutup pada Rabu berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 203 pada jam 8 malam Selasa.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat dalam satu kenyataan memaklumkan bacaan berkenaan berada pada tahap sangat tidak sihat.
Menurut kenyataan itu, tindakan penutupan berkuat kuasa pada 7 Oktober 2026 dan melibatkan seluruh daerah Batu Pahat.
“Susulan keadaan jerebu yang melanda Daerah Batu Pahat, JPBD Batu Pahat sedang memantau perkembangan kualiti udara dan bacaan IPU bersama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk, khususnya murid serta warga sekolah, sentiasa terpelihara.
“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan pada 6 Oktober 2026, bacaan IPU di Batu Pahat mencatatkan 203 pada jam 8 malam, iaitu pada tahap sangat tidak sihat,” menurut kenyataan tersebut.
JPBD berkata, tindakan pengurusan jerebu di sekolah dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), berdasarkan bacaan IPU serta arahan pihak berkuasa pendidikan.
Pada masa sama, pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor atau Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.
“Pihak sekolah hendaklah memaklumkan kaedah pelaksanaan PdPR, tugasan murid dan saluran komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga melalui saluran rasmi sekolah,” katanya.
JPBD Batu Pahat bersama agensi berkaitan juga akan meneruskan pemantauan bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah pula akan dibuat berdasarkan perkembangan kualiti udara dan arahan rasmi pihak berkuasa.
Orang awam turut diminta mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar, KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan Pejabat Daerah Batu Pahat.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat Daerah Batu Pahat sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.










