Zahid: N. Sembilan Perlukan Kerajaan Berhikmah, Bukan Politik Yang Cetus Krisis

SEREMBAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) bahawa Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri dari segi sejarah, adat dan landskap politik, justeru negeri itu memerlukan sebuah kerajaan yang mampu mentadbir dengan penuh kebijaksanaan serta menghormati institusi adat.

Beliau berkata, krisis politik yang melanda Negeri Sembilan bukan berpunca daripada kelemahan sistem adat yang diamalkan, sebaliknya disebabkan kegagalan pihak lawan menguruskan hubungan antara politik dan adat secara berhemah.

“Negeri Sembilan mempunyai sejarah, adat, demografi dan cabaran politik yang tersendiri. Lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya.

“Krisis yang berlaku bukan kerana adat itu lemah, tetapi kerana politik mereka yang gagal menguruskan adat dengan hikmah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan di Stadium Paroi, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, keadaan itu membuktikan Negeri Sembilan memerlukan sebuah pentadbiran yang lebih tertib, seimbang dan bijaksana bagi memastikan kestabilan politik serta kelangsungan institusi negeri terus dipelihara.

Beliau yang juga Pengerusi BN menyatakan keyakinan bahawa gabungan itu mempunyai keupayaan untuk menawarkan kepimpinan yang lebih stabil dan berkesan, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan jentera BN supaya mengenepikan segala perbezaan serta perselisihan yang pernah berlaku demi memastikan perjuangan parti lebih utuh.

Menurutnya, hanya dengan semangat perpaduan dan kesepakatan, BN mampu meraih semula mandat rakyat serta membawa Negeri Sembilan kembali ke landasan pentadbiran yang lebih cemerlang.

BBerkaitan

Latest articles