JAIS Tahan Lelaki 21 Tahun, Ibu Disyaki Terbabit Ritual Agama Lain

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki Islam berusia 21 tahun bersama ibunya yang berumur 52 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan ritual agama lain ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata kedua-dua individu itu ditahan di Kuala Lumpur tengah hari tadi menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dan dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau berkata, kedua-dua individu berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Berdasarkan risikan yang dijalankan susulan kes membabitkan individu berkenaan tular, JAIS juga dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan menegaskan JAIS memandang serius perkara itu dan akan memastikan semua tindakan dilaksanakan berdasarkan bidang kuasa jabatan, peruntukan undang-undang serta fakta kes.

Sebelum ini, JAIS memaklumkan pihaknya sedang menyiasat seorang individu Islam yang disyaki melakukan perbuatan bertentangan dengan hukum syarak menerusi penyertaan dalam ritual agama lain ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

BBerkaitan

Latest articles