KUALA LUMPUR: Rakyat perlu menggunakan kuasa membeli untuk menekan syarikat yang terbabit dalam pembakaran hutan sehingga mencetuskan jerebu rentas sempadan, bukannya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menangani isu itu kepada kerajaan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pendekatan boikot terhadap syarikat terbabit wajar dipertimbangkan sebagai langkah memberi tekanan kewangan, seperti pendekatan yang pernah digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berdepan pertikaian dengan United Kingdom.
Beliau berkata, kuasa pengguna mampu memberi kesan kepada syarikat dari Indonesia yang didakwa menyumbang kepada masalah jerebu berulang kali melanda rantau ini.
“Kita mempunyai kuasa dan kuasa membeli yang akhirnya boleh membuatkan syarikat-syarikat Indonesia berasa bimbang,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.
Selain tekanan pengguna, beliau menggesa kerajaan Malaysia mengemukakan bantahan diplomatik yang tegas kepada Indonesia serta mendapatkan sokongan negara ASEAN lain, khususnya Singapura, bagi menangani isu pencemaran udara rentas sempadan.
Menurutnya, Malaysia dan Singapura juga boleh memanfaatkan pengaruh institusi kewangan masing-masing untuk menyekat pembiayaan kepada syarikat yang terbukti terbabit dalam pembakaran hutan.
Syed Saddiq berkata, kesan jerebu tidak terhad kepada kemerosotan kualiti udara, sebaliknya turut menjejaskan sektor pelancongan, kesihatan awam dan pendidikan apabila sekolah terpaksa ditutup.
Beliau turut membangkitkan kesan tidak seimbang terhadap murid daripada keluarga berpendapatan rendah yang berdepan kesukaran mengikuti pembelajaran dalam talian akibat kekurangan komputer, tablet atau capaian internet yang memadai.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Malaysia mempertimbangkan penggubalan undang-undang seumpama Akta Jerebu Rentas Sempadan Singapura bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat yang menyebabkan pencemaran merentasi sempadan negara.
Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan juga perlu dikenakan terhadap syarikat Malaysia sekiranya didapati bersubahat dalam aktiviti pembakaran hutan yang menyumbang kepada masalah jerebu.










