Zahid Mahu Musyawarah Nasional Jadi ‘Makmal Pemikir Bangsa’

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Musyawarah Nasional tidak dianjurkan untuk menimbulkan ketakutan atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan mencari jalan penyelesaian terhadap keresahan yang dihadapi masyarakat Melayu.

Menurut beliau, keresahan rakyat tidak boleh terus menjadi rungutan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memperkukuh semula kedudukan bangsa.

“Inilah tujuan Musyawarah Nasional yang saya hasratkan. Bukan sekadar untuk berbicara tentang masalah bangsa tetapi untuk menyusun semula kekuatannya. Bukan sekadar mengulang keresahan tetapi merumuskan penyelesaian dipandu oleh akal, adab dan akhlak,” katanya ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya?, hari ini.

Ahmad Zahid berkata pelbagai isu seperti peluang pekerjaan anak muda, tekanan hidup keluarga, cabaran usahawan kecil serta persoalan masa depan bangsa perlu ditangani secara berilmu dan matang.

Presiden UMNO itu turut menegaskan keresahan rakyat tidak seharusnya dijadikan bahan politik sempit atau mencetuskan kebencian, sebaliknya dibincangkan secara rasional berasaskan fakta dan data.

Beliau berharap musyawarah berkenaan menjadi sebuah “Makmal Pemikir Bangsa” yang menghimpunkan idea, pengalaman dan keberanian untuk merangka penyelesaian terbaik demi masa depan orang Melayu.

BBerkaitan

Latest articles