AYER KEROH: Seorang pelayan bar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang ibu muda dalam kejadian di Jalan Ujong Pasir, awal pagi Selasa lalu.
Tertuduh, S. Darshan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa penunggang motosikal, Nur Aleya Natasha Roslan, 21, kira-kira jam 2.30 pagi di Jalan Ujong Pasir berhampiran Kondominium Pasir Mutiara, Melaka Tengah pada 5 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin sebelum itu mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jumlah lebih rendah atas alasan tertuduh hanya memperoleh gaji RM2,200 sebulan dan menanggung bapanya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandunya ditahan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Jun depan.
Dalam kejadian itu, mangsa yang juga ibu kepada seorang anak kecil berusia dua tahun dilaporkan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Myvi yang dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk.










