Pemuda UMNO Bera Mahu Kerajaan Persekutuan Percepat Pembangunan Pahang

BERA: Pemuda UMNO Bahagian Bera menggesa kerajaan persekutuan memberi tumpuan lebih serius terhadap agenda pembangunan di Pahang memandangkan negeri itu memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan, pertanian, sumber asli serta pelaburan negara.

Ketuanya, Nashriq Ismail Sabri berkata, pandangan yang disuarakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengenai keperluan negeri itu diberi perhatian sewajarnya perlu diteliti secara bijaksana demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Menurut beliau, titah baginda mencerminkan keprihatinan terhadap usaha mempercepat kemajuan Pahang selain memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Setiap pandangan dan permintaan yang dikemukakan Tengku Hassanal pastinya berasaskan kepentingan rakyat serta usaha memperkukuh pembangunan negeri.

“Apabila pembangunan Pahang diberi perhatian lebih besar, manfaatnya bukan sahaja dirasai rakyat negeri ini malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Tengku Hassanal ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 pada Jumaat lalu membangkitkan persoalan berkaitan peruntukan kerajaan persekutuan kepada negeri berkenaan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh mengenai peruntukan kerajaan persekutuan kepada Pahang untuk dipersembahkan kepada Tengku Hassanal.

Selain itu, baginda juga dijangka diberikan penerangan berkaitan situasi makroekonomi negara, cabaran ekonomi semasa serta isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.

BBerkaitan

Latest articles