KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mencadangkan kerajaan menilai semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara serta memastikan sistem percukaian lebih mampan pada masa depan.
Menurut beliau, isu sebenar bukan terletak pada nama cukai itu, sebaliknya bagaimana kerajaan dapat membina asas percukaian yang adil dan mampu menjana hasil mencukupi untuk negara.
Ketika menjadi panel dalam program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini, Khairy berkata kerajaan memerlukan sumber pendapatan lebih stabil bagi menghadapi kemungkinan krisis global seperti pandemik, peperangan atau kemelesetan ekonomi.
“Naikkan kembali GST. Nak guna apa nama pun, panggil apa pun… yang penting asas percukaian kita mesti kukuh dan adil.
“Panggillah apa pun boleh. Seperti Fair and Equitable Tax. Madani Tax! Sebab apa? Pendapatan kita tidak cukup,” katanya.
Khairy turut menyifatkan sistem cukai sedia ada, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), belum mampu menampung keperluan perbelanjaan kerajaan dalam jangka panjang, terutama ketika subsidi negara terus meningkat.
Khairy berkata, pengalaman ketika pandemik Covid-19 membuktikan kerajaan perlu mempunyai sumber kewangan lebih besar untuk bertindak balas terhadap situasi luar jangka.
“Jika berlaku lagi krisis besar seperti Covid-19 atau konflik antarabangsa, kerajaan tidak boleh bergantung kepada SST semata-mata,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan perbincangan mengenai GST tidak sepatutnya dijadikan isu politik kerana ia melibatkan keputusan ekonomi penting demi kelangsungan kewangan negara dan kesejahteraan rakyat.
Program itu turut dihadiri bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim; bekas Pengarah Urusan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalid Mohd Noh serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.










