Zahid Gesa Ismail Menghadap Tuanku Muhriz, Undang Yang Empat

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim segera menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Undang Yang Empat bagi mencari jalan keluar terhadap kemelut pentadbiran negeri itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, penyelesaian perlu dicari menerusi saluran institusi dan adat Negeri Sembilan, termasuk menghadap Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar serta hierarki adat lain, selain berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Beliau berkata, kepentingan rakyat perlu diletakkan sebagai keutamaan dan kemelut yang berlaku tidak seharusnya berlarutan sehingga menjejaskan pentadbiran serta kepentingan mereka.

“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan disantuni dan apa yang sedang berlaku dan telah berlaku, kita cari jalan penyelesaian baik di peringkat negeri.

“Tentunya kita tidak mahu keadaan semakin keruh dan rakyat dimangsakan dengan situasi ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Zahid berkata, beliau juga akan bertemu 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN) di Ibu Pejabat UMNO malam ini bagi mendapatkan pandangan mengenai pilihan yang boleh diambil untuk meredakan kemelut berkenaan.

Katanya, sokongan 25 ADUN berkenaan yang membentuk lebih tiga perempat daripada keseluruhan komposisi kerajaan negeri perlu diberi perhatian dalam usaha mencari penyelesaian.

“Keseluruhan 25 ADUN yang ada, yang telah membentuk lebih tiga perempat kerajaan di Negeri Sembilan ini… dua pertiga daripada mandat yang telah diberikan ini mesti terus diberikan keutamaan dan penyelesaiannya akan datang daripada mereka.

“Saya mahu dengar apakah pilihan terbaik bagi kita menyelesaikan masalah yang sedang melanda Negeri Sembilan,” katanya.

Zahid pada masa sama menegaskan pertemuan itu bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya bagi menyelaras perbincangan dalam kalangan wakil rakyat BN dan PN supaya penyelesaian terbaik dapat dicapai.

Beliau turut menolak sebarang cadangan untuk mengisytiharkan darurat di Negeri Sembilan susulan kemelut politik yang berlaku.

“Saya tidak fikir ia harus menuju ke arah itu sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tidak perlu pun perkara itu difikirkan.

“Tentu ada pilihan lebih baik selain mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Emergency Council di Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid menafikan dakwaan bahawa 10 bekas Exco Negeri Sembilan telah dipanggil Bukit Aman untuk memberikan keterangan.

Bagaimanapun, katanya, kesemua mereka bersedia memberikan kerjasama sekiranya dipanggil oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Perkara itu tidak benar dan tidak ada keperluan untuk dipanggil. Tetapi, kalau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mahu mendapat keterangan, tentunya exco atau mantan exco tidak ada masalah memberi keterangan di Seremban atau mana-mana tempat di Negeri Sembilan,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pula, Zahid berkata BN terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti berkaitan termasuk mengenai kemungkinan PAS menggunakan logo BN.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam pertemuan dengan parti-parti gabungan dan pihak berkaitan dalam minggu ini.

“Pada minggu ini, kita akan ada perbincangan dengan beberapa pihak, dengan parti gabungan mana, dengan parti mana kita akan bertanding.

“Kita menghormati keputusan yang akan dibuat oleh mereka. Logo dan lambang apa yang akan mereka gunakan, itu terserah kepada mereka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles