Mahkamah Tolak Permohonan Bicara Tertutup Kes Saman Tikam Maut Pelajar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan seorang remaja lelaki supaya saman sivil terhadapnya berhubung kes tikam maut pelajar perempuan, Yap Shing Xuen, 16, dibicarakan sepenuhnya secara tertutup.

Hakim P Anand memutuskan identiti remaja dikenali sebagai L boleh dilindungi tanpa menghalang orang ramai dan media daripada mengikuti prosiding, dengan keterangan tertentu boleh didengar secara tertutup jika perlu.

Mahkamah turut memerintahkan semua dokumen yang difailkan dalam kes itu tidak boleh diakses orang awam.

Saman berkenaan difailkan keluarga Yap terhadap beberapa agensi kerajaan, remaja terbabit dan ibu bapanya, atas dakwaan kegagalan mengambil langkah sewajarnya menangani isu kesihatan mental di sekolah serta mengelakkan kejadian itu.

Pada 14 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan remaja berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh selepas mendapati dia tidak sempurna akal ketika kejadian.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan dia ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan atas perkenan Sultan Selangor.

Jabatan Peguam Negara kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan itu pada 24 September lalu.

Yap sebelum ini dilaporkan maut selepas ditikam di tandas perempuan sekolah mereka di Bandar Utama pada 14 Oktober tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles