Dua Anggota Polis Saman Shuhaily Secara Peribadi Dalam Tempoh Tujuh Hari

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang mendakwa dicederakan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan memfailkan saman sivil terhadap beliau secara peribadi dalam tempoh tujuh hari.

Peguam mereka, Kamal Hisham Ja’affar berkata, draf saman itu sedang dimuktamadkan dan tindakan berkenaan tidak akan melibatkan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Menurutnya, jumlah tuntutan ganti rugi bagi setiap anggota masih belum ditentukan kerana pihaknya sedang menunggu laporan perubatan untuk menilai tahap kecederaan dialami.

Semalam, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, manakala sebutan semula kes dan penyerahan dokumen ditetapkan pada 25 November depan.

BBerkaitan

Latest articles