Ytl Power, Jland Group Jalin Kerjasama Bangunkan Kampus Pusat Data Di Sedenak

KUALA LUMPUR, YTL Power International Bhd dan JLand Group mengumumkan kerjasama strategik bagi cadangan pembangunan bersama di Sedenak Tech Park West (STeP West), Johor, yang merangkumi sebuah kampus pusat data baharu berskala gigawatt.

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi anak syarikat masing-masing, SIPP Power Sdn Bhd milik YTL Power dan JLG Technopark Sdn Bhd milik JLand Group.

Di bawah pengaturan berkenaan, SIPP Power akan memperoleh kira-kira 145 ekar tanah di STeP West serta mempunyai opsyen untuk memperoleh tambahan sehingga 400 ekar bagi peluasan pada masa hadapan.

Langkah itu berpotensi menjadikan keseluruhan tapak kampus berkeluasan kira-kira 545 ekar, sekali gus memperluas jejak pusat data YTL Power di Johor dengan ketara.

Kerjasama berkenaan menggabungkan pengalaman YTL Power dalam membangunkan dan mengendalikan infrastruktur digital berskala besar dengan peranan JLand Group sebagai pemaju induk Ibrahim Technopolis (IBTEC).

Terletak dalam IBTEC, STeP merupakan platform JLand Group bagi pembangunan teknologi digital dan termaju berskala besar.

STeP West adalah fasa pertumbuhan seterusnya selepas STeP East dan mempunyai skala yang diperlukan untuk menyokong pelaburan utama dalam pusat data serta kecerdasan buatan (AI).

Kampus YTL yang baharu itu dijangka memperkukuh kelompok infrastruktur digital di IBTEC, selain meningkatkan kedudukan Johor sebagai antara pasaran pusat data utama di Asia Tenggara.

Kampus Sedenak berkenaan akan melengkapi YTL Green Data Center Park di Kulai yang dirancang mempunyai kapasiti sehingga 1.2 gigawatt (GW).

Kedua-dua kampus itu akan memberikan YTL Power skala dan fleksibiliti untuk memenuhi permintaan serantau yang berkembang pesat terhadap pengkomputeran awan, AI serta perkhidmatan digital yang semakin berintensifkan tenaga.
Pengarah Urusan Kumpulan JLand Group Datuk Sr Akmal Ahmad berkata penyertaan YTL Power dalam ekosistem IBTEC akan membawa pelaburan infrastruktur digital yang signifikan serta memperkukuh ekosistem lebih luas meliputi sektor tenaga, utiliti, teknologi dan industri sokongan.

“Kami berharap YTL Power akan menyumbangkan keupayaan dan rangkaiannya ketika kami terus membangunkan sebuah platform yang menarik pelaburan pelengkap, mewujudkan peluang baharu serta memperkukuh kedudukan Johor dalam ekonomi digital serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power International Bhd Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata pembangunan kampus berskala gigawatt di Sedenak merupakan peluasan penting bagi platform infrastruktur digital syarikat itu di Johor dan seluruh rantau ini.

“Bersama-sama kampus kami yang sedang berkembang di Kulai, Sedenak akan terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai pusat serantau utama bagi AI, pengkomputeran awan dan inovasi digital,” katanya.
Pembangunan itu dijangka menyokong peluang pekerjaan berkemahiran dalam bidang pembinaan, kejuruteraan, teknologi dan pengendalian pusat data.

Ia juga dijangka menjana aktiviti ekonomi lebih luas dalam rantaian bekalan berkaitan tenaga, infrastruktur dan teknologi.

Kedudukan Johor yang berhampiran dengan Singapura, selain kesalinghubungan antarabangsa, infrastruktur yang semakin berkembang serta ekosistem teknologi yang semakin kukuh, menjadikan negeri itu destinasi semakin menarik bagi pelaburan infrastruktur digital global.

BBerkaitan

Latest articles