KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali muncul sebagai antara tokoh penting dalam percaturan politik negara apabila beliau berusaha merapatkan hubungan UMNO dan PAS bagi membentuk kerjasama politik lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Pembangkang itu yang kini menerajui Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkata matlamat utamanya adalah memastikan UMNO dan Pas, dua parti utama yang berebut sokongan pengundi Melayu dan Islam, duduk semeja serta mencari titik persamaan.
Beliau melihat penyatuan itu berpotensi membentuk satu blok politik nasional yang besar, sekali gus mengubah landskap politik negara menjelang PRU yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada awal 2028.
“Apa yang saya cuba tanam dalam fikiran mereka ialah, kamu orang Melayu, duduklah berbincang.
“Dalam negara ini, orang Melayu ialah majoriti dan jika orang Melayu tidak bersatu, bagaimana sesebuah negara boleh menjadi stabil?” katanya dalam wawancara pada 17 September lalu.
Usaha berkenaan bukan lagi sekadar percaturan di peringkat nasional apabila UMNO dan PAS sebelum ini mencapai persefahaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk tidak bertembung sesama sendiri, sebelum blok berkenaan mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan (PH).
Kedua-dua parti juga kini melihat PRN Melaka sebagai medan seterusnya untuk menguji bentuk kerjasama berkenaan.
Bagaimanapun, perkembangan itu turut mencetuskan persoalan mengenai bentuk pakatan yang bakal diwujudkan kerana UMNO dilihat lebih cenderung berunding secara langsung dengan PAS, berbanding melibatkan keseluruhan blok Perikatan Nasional (PN) termasuk Wawasan pimpinan Hamzah.
Hamzah, bagaimanapun, tidak melihat dirinya sebagai pihak yang perlu menjadi orang tengah secara berterusan, meskipun mempunyai hubungan dengan pemimpin utama kedua-dua parti.
Pengalaman politiknya juga menjadikan beliau antara tokoh yang pernah memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan selepas PRU14 dan PRU15.
Pada 2020, Hamzah membantu mengumpulkan sokongan Ahli Parlimen yang membawa Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan Perdana Menteri, termasuk mendapatkan sokongan UMNO dan PAS.
Selepas Muhyiddin kehilangan majoriti setahun kemudian, Hamzah sekali lagi membantu mengatur sokongan sehingga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.
Namun, beliau kemudiannya disingkirkan daripada Bersatu pada Februari lalu susulan konflik kepimpinan dengan Muhyiddin.
Kini, melalui Wawasan, Hamzah kembali berada dalam persamaan politik apabila parti itu menjadi sebahagian daripada blok pembangkang dan memperoleh sokongan Pas untuk mengangkatnya sebagai Ketua Pembangkang.
Wawasan yang baru ditubuhkan pula mendakwa sudah mempunyai lebih 50,000 ahli dan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 300,000 menjelang akhir tahun.
Parti berkenaan turut mencatat kemunculan pertama dalam pilihan raya apabila memenangi tiga kerusi DUN di Negeri Sembilan dan Hamzah mengesahkan Wawasan akan turut bertanding pada PRN Melaka.
Pensyarah Madya Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Syaza Farhana Shukri, berpandangan pembentukan pakatan baharu membabitkan parti-parti Melayu masih berkemungkinan berlaku.
Namun, beliau menegaskan usaha itu berdepan cabaran kerana UMNO dan PAS mempunyai pendekatan serta kepentingan politik yang tidak semestinya sehaluan.
“Perpaduan politik Melayu sukar dicapai kerana setiap parti hanya memikirkan diri mereka sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah menafikan beliau sedang membina laluan untuk menjadi Perdana Menteri, sebaliknya menyifatkan dirinya sebagai individu yang bersedia membantu mana-mana pihak mendapatkan sokongan dan membentuk kerajaan.
Beliau turut menamakan beberapa tokoh daripada parti lebih besar sebagai calon berpotensi untuk jawatan itu, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya akan membantu sesiapa sahaja yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.
“Anda pernah mendengar orang mendakwa saya sebagai seorang operator politik,” katanya.
Bagaimanapun, satu perkara ditegaskan Hamzah tanpa berselindung adalah beliau tidak melihat ruang untuk membentuk pakatan dengan Anwar Ibrahim.
“Saya Ketua Pembangkang dan Anwar ialah Perdana Menteri. Beliau tidak mahukan saya dan saya tidak mahukan beliau,” katanya.










