SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Haji Ismail Lasim mendakwa kemelut membabitkan Institusi Adat dan Raja yang berlaku ketika ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, sebaliknya masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
Beliau mendakwa kegagalan Menteri Besar ketika itu melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk menyempurnakan proses yang sepatutnya, menyebabkan kemelut berkenaan berlarutan dan menjadi semakin parah.
Dalam kenyataan media bertulis yang diedarkan selepas sidang medianya hari ini, Ismail berkata kerajaan semasa menerima mandat rakyat dengan majoriti melebihi dua pertiga dan mempunyai amanah untuk memulihkan kestabilan pentadbiran, mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta memelihara Institusi Adat dan Raja.
Beliau pada masa sama menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri atau Menteri Besar telah “menurunkan” Yang di-Pertuan Besar.
Menurutnya, sistem pemerintahan beraja Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri berasaskan Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Katanya, Yang di-Pertuan Besar tidak dipilih oleh Menteri Besar atau kerajaan negeri, sebaliknya Undang Yang Empat mempunyai peranan khusus dalam proses pemilihannya.
“Justeru, adalah tidak benar untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar atau EXCO Kerajaan Negeri mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta.
“Kerajaan Negeri tidak pernah mendakwa mempunyai kuasa sedemikian,” menurut kenyataan itu.
Ismail berkata pertikaian berkenaan juga tidak seharusnya dipermudahkan sebagai konflik politik antara kerajaan negeri dengan Istana kerana perkara itu membabitkan struktur tradisi pemerintahan Negeri Sembilan, termasuk Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Dewan Keadilan dan Undang.
Menurutnya, penyelesaian terhadap kemelut berkenaan perlu kembali kepada adat, Undang-Undang Tubuh serta institusi yang mempunyai bidang kuasa.
Jangan gambarkan kerajaan lawan Yang di-Pertuan Besar
Ismail turut kesal apabila pertikaian itu menurutnya cuba digambarkan sebagai pertentangan antara kerajaan negeri dengan Yang di-Pertuan Besar.
Katanya, persoalan sebenar yang perlu diselesaikan membabitkan proses, bidang kuasa dan tafsiran terhadap tindakan institusi adat berkaitan dan perkara itu sepatutnya diselesaikan menerusi saluran diperuntukkan oleh adat serta Undang-Undang Tubuh.
“Kerajaan Negeri tidak berhasrat menentukan keputusan bagi pihak institusi-institusi tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail menegaskan mandat rakyat kepada kerajaan negeri juga perlu dihormati kerana ia membawa kuasa eksekutif untuk mentadbir negeri, melaksanakan dasar, mengurus pentadbiran serta menjaga kebajikan rakyat.
Beliau berkata menghormati Institusi Raja dan Adat tidak bermaksud fungsi kerajaan negeri boleh dinafikan, sebagaimana menghormati mandat demokratik kerajaan negeri tidak mengurangi kedudukan Institusi Raja.
“Tidak boleh mana-mana pihak menggunakan pertikaian institusi sebagai alasan untuk melumpuhkan pentadbiran negeri, menghalang keputusan eksekutif yang sah ataupun menjejaskan keupayaan Kerajaan Negeri memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Rakyat telah memberikan mandat. Mandat itu wajib dihormati,” katanya.
Sentuh kedudukan SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri
Kenyataan itu turut menyentuh isu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri dengan menegaskan kepentingan profesionalisme, keberkecualian dan pematuhan terhadap undang-undang dalam kalangan penjawat awam.
Bagaimanapun, kerajaan negeri mengakui terdapat mekanisme tertentu dalam Undang-Undang Tubuh berhubung pelantikan jawatan utama pentadbiran negeri dan sebarang persoalan mengenai kedudukan pegawai terbabit perlu diselesaikan melalui proses undang-undang serta pentadbiran sewajarnya.
Pada masa sama, Ismail menegaskan isu keyakinan kerajaan terhadap pentadbiran, profesionalisme dan keberkecualian tidak boleh diketepikan.
“Penjawat awam tidak seharusnya dilihat berpihak dalam pertikaian politik atau institusi sehingga menjejaskan kepercayaan terhadap neutraliti pentadbiran,” katanya.
Ingatkan agensi Persekutuan hormati bidang kuasa negeri
Ismail turut mengingatkan semua pihak termasuk agensi atau pihak berkuasa Persekutuan supaya tidak mengambil tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai mengambil alih fungsi, menekan atau menentukan keputusan dalam perkara yang menurut undang-undang dan adat berada dalam bidang kuasa Negeri Sembilan.
Menurutnya, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu berasaskan prinsip saling menghormati, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian membabitkan adat dan Institusi Raja.
Sebaliknya, perkara itu perlu diselesaikan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa termasuk Undang Yang Empat dan Dewan Keadilan dan Undang.
Ismail memberi jaminan apa juga keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh institusi mempunyai bidang kuasa menurut adat dan Undang-Undang Tubuh akan dihormati kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri tidak mencari pertelingkahan dengan Institusi Raja. Kerajaan juga tidak mahu adat dijadikan gelanggang politik.
“Namun pada masa yang sama, jangan jadikan kemelut adat dan institusi sebagai alasan untuk mengganggu, mengintimidasi atau menyekat sebuah Kerajaan Negeri yang sah daripada melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan itu dengan falsafah Negeri Sembilan, “ Biar mati anak, jangan mati adat” sambil menegaskan adat perlu dipertahankan, perlembagaan dijunjung, mandat rakyat dihormati dan institusi dipelihara.










