KUALA LUMPUR: YTL Foundation melancarkan program Ilmu Fellowship, sebuah inisiatif pembangunan kepimpinan selama 10 bulan yang bertujuan melahirkan generasi baharu pemimpin Malaysia berteraskan integriti, keberanian dan komitmen terhadap kepentingan awam merentasi sektor kerajaan, swasta dan masyarakat sivil.
Ketua Pegawai Operasi (COO) YTL Foundation, Xiao Cheng Wong, berkata program itu diwujudkan berasaskan kepercayaan bahawa kepimpinan yang berkesan bukan sahaja memerlukan keupayaan, malah sokongan komuniti yang mampu membentuk nilai serta memperkukuh keupayaan seseorang pemimpin.
Beliau berkata, selepas lebih dua dekad pengalaman dalam sektor pendidikan dan kehakiman, pihaknya mendapati perubahan yang bermakna sering tercetus apabila pemimpin yang berwibawa disokong oleh rangkaian komuniti yang berkongsi aspirasi dan nilai yang sama.
“Kami bertanya kepada diri sendiri, bagaimana jika peluang untuk membina kapasiti dan komuniti ini dapat diperluaskan kepada pemimpin daripada pelbagai sektor, bukan hanya masyarakat sivil tetapi juga penjawat awam dan sektor korporat.
“Hasil perbincangan bersama pelbagai pemimpin, kami yakin masih ramai pemimpin muda yang berpotensi dan bersedia memimpin dengan integriti. Atas sebab itu, Ilmu Fellowship diwujudkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan di Hotel The Stripes, hari ini.
Menurut beliau, perkataan ilmu bukan sekadar membawa maksud pengetahuan atau pembelajaran, tetapi turut melambangkan usaha sepanjang hayat untuk mencari kefahaman, kebijaksanaan serta memimpin dengan belas ihsan, keberanian dan keupayaan membina hubungan merentasi perbezaan demi kepentingan bersama.
Xiao berkata, program itu akan memilih 25 peserta setiap tahun untuk mengikuti perjalanan pembangunan kepimpinan selama 10 bulan tanpa perlu meninggalkan kerjaya masing-masing.
Katanya, peserta akan melalui proses pemilihan yang terbuka kepada individu daripada sektor kerajaan, swasta dan masyarakat sivil sebelum mengikuti pelbagai modul pembangunan kepimpinan.
Program itu merangkumi siri retreat intensif bagi membina kepercayaan dalam kalangan peserta, sesi pembelajaran mengenai kepimpinan adaptif, bimbingan mentor dan jurulatih profesional, selain pelaksanaan projek perubahan dalam organisasi atau komuniti masing-masing.
Beliau berkata, peserta juga akan mengikuti lawatan pembelajaran selama empat hari ke Blavatnik School of Government, University of Oxford, bagi mempelajari amalan terbaik kepimpinan dan kerjasama rentas sektor di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, selepas tamat program, para peserta akan terus menjadi sebahagian daripada rangkaian alumni yang berfungsi sebagai komuniti pembelajaran dan sokongan sepanjang hayat.
Ilmu Fellowship diasaskan oleh Yayasan Ruang Nyala dengan kerjasama Blavatnik School of Government, University of Oxford, Acumen dan Komando.
Mengulas mengenai kriteria pemilihan, Xiao berkata pihaknya mencari individu yang telah menunjukkan keberanian, integriti dan kesediaan untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam peranan masing-masing.
Beliau berkata calon yang disasarkan lazimnya mempunyai antara lima hingga 15 tahun pengalaman bekerja serta rekod memimpin inisiatif yang memberi manfaat kepada organisasi atau kepentingan awam.
“Bayangkan jika mereka mempunyai komuniti rakan kepimpinan seperti ini lebih awal dalam kerjaya mereka. Kita mungkin dapat menyaksikan impak yang lebih besar lagi hasil kepimpinan kolektif mereka.
“Justeru, kami mengajak semua pihak bukan sekadar mencalonkan peserta, tetapi bersama-sama mengenal pasti individu yang mampu membentuk Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.










