Pencapaian Tabika Perpaduan Meningkat Kepada 71.8 Peratus Pada 2025

KUALA LUMPUR: Pencapaian penilaian Rukun Negara dalam kalangan murid Tabika Perpaduan meningkat kepada 71.8 peratus pada 2025 berbanding 54.5 peratus pada 2022.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peningkatan itu menunjukkan strategi pemantapan Modul Pendidikan Rukun Negara di Tabika Perpaduan membuahkan hasil positif.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang ingin mengetahui keberkesanan Tabika Perpaduan dalam menyemai budaya hormat-menghormati dan perpaduan antara kaum serta kayu ukur yang digunakan.

Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menggunakan dua kaedah penilaian terhadap murid berusia enam tahun, iaitu Penilaian Rukun Negara dan Penilaian Kemahiran Membaca.

“Penilaian ini menilai tahap kefahaman dan amalan nilai-nilai asas Rukun Negara dan perpaduan dalam kalangan murid,” katanya.

Aaron berkata, penilaian kemahiran membaca turut menunjukkan trend peningkatan apabila pencapaiannya meningkat daripada 70.8 peratus pada 2021 kepada 84 peratus pada 2024.

Bagaimanapun, pencapaian itu mencatatkan sedikit penurunan sebanyak dua mata peratusan kepada 82 peratus pada 2025.

Beliau menjelaskan, penurunan kecil itu dipengaruhi oleh perbezaan kohort murid, namun pencapaian keseluruhan yang kekal melebihi 80 peratus menunjukkan kemahiran membaca murid masih berada pada tahap baik.

“Kementerian akan terus menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran serta latihan guru bagi memastikan generasi muda Malaysia membesar dengan jiwa patriotik dan semangat perpaduan yang kukuh,” katanya.

Dalam jawapan sama, Aaron memaklumkan sebanyak 1,781 Tabika Perpaduan beroperasi di seluruh negara.

Johor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 206 buah, diikuti Selangor (181), Sarawak (172), Perak (164) dan Sabah (142).

Negeri lain ialah Pahang (126), Negeri Sembilan (120), Pulau Pinang (116), Kedah (107), Kelantan (107), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (132), Terengganu (72), Melaka (64) dan Perlis (37).

Sementara itu, Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai 25 Tabika Perpaduan, manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan jumlah paling sedikit iaitu 10 buah.

BBerkaitan

Latest articles