KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuh dan memperluas Program Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia secara bersasar bagi membendung penularan demam denggi di negara ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peluasan program itu akan mengambil kira keutamaan epidemiologi, kesesuaian lokaliti dan penilaian teknikal.
Beliau berkata kaedah pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia telah dilaksanakan di Malaysia sejak 2019, melibatkan 53 lokaliti di lapan negeri.
“Berdasarkan penilaian setelah enam tahun pelaksanaan, 33 daripada 36 atau 91.7 peratus lokaliti yang layak dinilai menunjukkan pengurangan kes demam denggi pada tahun ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta senarai inisiatif kerajaan bagi membanteras penularan denggi serta sama ada KKM bercadang mencontohi Project Wolbachia di Singapura yang menggunakan kaedah pelepasan nyamuk jantan berWolbachia untuk menyekat pembiakan nyamuk Aedes.
Dzulkefly berkata Malaysia menggunakan strategi penggantian populasi (population replacement), manakala Singapura memilih strategi penindasan populasi (population suppression).
Menurutnya, strategi penggantian bertujuan menggantikan populasi Aedes liar dengan populasi Aedes berWolbachia, manakala strategi penindasan digunakan untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes.
Kedua-dua pendekatan itu berupaya mengurangkan keupayaan nyamuk Aedes sebagai pembawa virus denggi.
Beliau berkata strategi penggantian dipilih di Malaysia kerana berpotensi menjimatkan kos dalam jangka panjang, memandangkan pelepasan nyamuk berWolbachia tidak perlu dilakukan secara berulang selepas bakteria berkenaan berjaya bertapak dalam populasi nyamuk setempat.
Pendekatan itu juga bersesuaian dengan keluasan geografi Malaysia yang lebih besar.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata usaha membendung denggi memerlukan pendekatan menyeluruh dengan penglibatan semua pihak, khususnya dalam memastikan kebersihan dan kelestarian persekitaran.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pengurusan sampah dan tanah terbiar secara bersepadu antara agensi serta memperkasakan penglibatan komuniti menerusi Program Komuniti Bebas Denggi (KomBeD) dan Communication for Behavioural Impact (COMBI).
KKM turut melaksanakan pemantauan denggi sepanjang tahun melalui sistem notifikasi wajib.
Susulan peningkatan kes bermula Minggu Epidemiologi (ME) ke-13, pemantauan melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) dipertingkatkan, manakala Bilik Gerakan Denggi CPRC Kebangsaan diaktifkan pada ME ke-27 bagi memperkukuh penyelarasan aktiviti kawalan dan pencegahan.
Usaha kawalan konvensional turut diteruskan melalui pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes, semburan kabus (fogging), penggunaan larvasid serta penguatkuasaan undang-undang.
Selain itu, pengurusan klinikal diperkukuh menerusi pengesanan awal kes, pengenalpastian tanda amaran dan pemberian rawatan bersesuaian bagi mengurangkan komplikasi serta kematian akibat denggi.
Dzulkefly berkata jumlah kes denggi mingguan menunjukkan penurunan kepada 1,580 kes pada ME ke-40 berbanding 3,088 kes pada ME ke-33, iaitu jumlah kes mingguan tertinggi setakat tahun ini.
Beliau berkata usaha kawalan dan pencegahan akan terus dipertingkatkan bagi mengurangkan penularan denggi, dengan kerjasama agensi kerajaan, komuniti dan pihak berkepentingan.










