Lebih 25,000 Peserta MyLesen B2 Sudah Peroleh Lesen Percubaan

KUALA LUMPUR: Seramai 25,464 peserta Program MyLesen B2 berjaya menamatkan keseluruhan proses latihan dan ujian serta memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL) B2 setakat ini, bersamaan kira-kira 85 peratus daripada sasaran program bagi 2026.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan menyediakan 30,000 kuota dengan peruntukan RM11.186 juta bagi pelaksanaan program itu tahun ini.

Beliau berkata seramai 30,660 peserta telah ditawarkan dan bersetuju menyertai program berkenaan, iaitu 102.2 peratus daripada sasaran asal, manakala 28,785 peserta telah mendaftar di institut memandu.

“Pelaksanaan di 11 negeri telah mencapai 100 peratus, manakala baki peserta di negeri-negeri lain sedang menyelesaikan latihan dan ujian sebelum program ditutup pada 31 Oktober 2026,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta penjelasan mengenai proses peserta Program MyLesen B2 dari peringkat permohonan sehingga memperoleh lesen serta status pelaksanaan MyLesen B2 dan MyB2S.

Anthony berkata MyLesen B2 merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 secara sah melalui pembiayaan kos latihan dan ujian memandu.

Menurutnya, program itu memberi peluang kepada peserta, khususnya golongan sasaran, mengikuti latihan formal di institut memandu tanpa dibebani kos mendapatkan lesen.

Pada masa sama, program berkenaan menyokong agenda keselamatan jalan raya dengan memastikan penunggang motosikal menerima latihan, pendidikan dan penilaian kompetensi sebelum dibenarkan menunggang di jalan raya.

Beliau berkata kerajaan menanggung kos kursus, latihan, ujian pertama serta sehingga dua kali ujian ulangan, namun peserta tetap perlu menghadiri latihan, melengkapkan jam pembelajaran dan lulus ujian yang ditetapkan.

“Secara lazimnya, proses untuk memperoleh PDL mengambil masa antara tiga hingga lima bulan, bergantung pada kehadiran peserta, jadual latihan dan ujian serta komitmen mereka.

“Prinsip kita mudah – kerajaan membantu dari segi kemampuan kewangan, tetapi kompetensi dan keselamatan tidak boleh dikompromi,” katanya.

Mengenai Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S), Anthony berkata inisiatif itu dikhususkan kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia daripada keluarga B40, termasuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Beliau berkata seramai 50,642 pelajar telah ditawarkan menyertai program berkenaan, dengan 40,590 peserta kini aktif menjalani latihan di institut memandu seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 30,648 pelajar telah memperoleh Lesen Belajar Memandu (LDL), manakala 7,157 pelajar berjaya melengkapkan keseluruhan proses sehingga memperoleh PDL B2.

“Angka itu dijangka terus meningkat memandangkan sebahagian besar peserta MyB2S masih menjalani latihan dan ujian praktikal,” ujarnya.

Anthony berkata kedua-dua program bukan sekadar membantu peserta mendapatkan lesen, malah bertujuan memastikan golongan muda dan B40 yang menggunakan motosikal menerima latihan formal, memahami undang-undang jalan raya serta mempunyai kompetensi asas sebelum menunggang di jalan raya.

BBerkaitan

Latest articles