KUALA LUMPUR -YTL AI Labs memperluaskan ekosistem kecerdasan buatan (AI) tempatan menerusi kerjasama strategik dengan Yes (YTL Communications), sekali gus membuka akses kepada platform ILMUchat kepada lebih tiga juta pelanggan rangkaian telekomunikasi itu.
Kerjasama tersebut meletakkan Yes sebagai syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang mengintegrasikan perkhidmatan AI secara terus kepada pangkalan pelanggannya, sejajar usaha kumpulan YTL memperkukuh kedudukan dalam ekonomi digital berteraskan AI.
Selain memperluaskan capaian pengguna, YTL AI Labs turut memperkenalkan beberapa ciri baharu ILMUchat termasuk keupayaan menghasilkan slaid pembentangan, poster, aplikasi mini dan permainan, di samping fungsi penulisan kandungan yang boleh dihantar terus melalui WhatsApp atau e-mel.
Platform yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia itu direka khusus untuk memahami konteks tempatan, termasuk penggunaan Bahasa Melayu, bahasa campuran (Manglish), dialek serta rujukan tempatan seperti KWSP dan PTPTN, sekali gus membezakan penawarannya daripada pembantu AI global.
YTL AI Labs turut memperkenalkan model langganan komersial ILMUchat dengan pelan Basic yang ditawarkan secara percuma, manakala pelan Pro berharga RM50 sebulan menyediakan akses tanpa had kepada fungsi premium termasuk penjanaan slaid, poster, pembangunan aplikasi dan muat naik fail.
View this post on Instagram
Di bawah kerjasama itu, semua pelanggan Yes akan menerima akses percuma kepada ILMUchat Pro melalui integrasi Single Sign-On (SSO) dalam aplikasi MyYes, membolehkan pengguna mengakses platform AI menggunakan akaun pelanggan sedia ada tanpa pendaftaran tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun, berkata peluasan akses kepada lebih tiga juta pengguna merupakan satu pencapaian penting dalam usaha membangunkan AI berdaulat (sovereign AI) yang memenuhi keperluan serta konteks tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee, berkata penyediaan akses ILMUchat Pro secara percuma kepada pelanggan Yes bertujuan mempercepat penggunaan AI dalam kalangan rakyat Malaysia, sambil mengukuhkan strategi syarikat sebagai penyedia rangkaian “AI-first”.
ILMUchat kini boleh diakses menerusi pelayar web, Apple App Store, Google Play Store dan aplikasi MyYes. Menurut YTL AI Labs, platform itu dibangunkan dengan penekanan terhadap keselamatan data dan konsep AI berdaulat, yang memberi tumpuan kepada pembangunan model AI yang memahami bahasa, budaya dan keperluan tempatan.










