SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa keluasan Tanah Rizab Melayu di negeri ini tidak pernah berkurang seperti dakwaan yang berlegar di media sosial, sebaliknya mencatatkan peningkatan sebanyak 2,680 ekar sejak tahun 2018.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah keseluruhan Tanah Rizab Melayu telah meningkat daripada 400,711 ekar kepada 403,391 ekar di bawah pentadbiran kerajaan semasa berbanding pentadbiran terdahulu.
Beliau mengulas mengenai persoalan status tanah di Saban Bernam baru-baru ini, di mana tanah seluas 55.401 ekar di Tanjong Karang telah diwarta keluar melalui warta yang disiarkan pada 3 September 2026 khusus bagi pembangunan Sabak Bernam Development Area (SABDA).
Menurut beliau, pembangunan SABDA merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan anjung utara Selangor bagi meningkatkan keterjaminan makanan, menggapai potensi agro-pelancongan di Pesisir Pantai Barat, sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan bagi warga tempatan.
“Usaha ini diterajui oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan turut melibatkan komuniti tempatan seperti nelayan dan usahawan serta pihak akademia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin memberi jaminan bahawa projek pembangunan tersebut dilaksanakan tanpa mengabaikan kepentingan Tanah Rizab Melayu.
Jelasnya, bagi mencapai keseimbangan antara pembangunan tempatan serta kepentingan Tanah Rizab Melayu, tanah dengan keluasan yang sama iaitu 55.401 ekar di Hulu Selangor sedang melalui proses pewartaan sebagai Tanah Rizab Melayu.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar membaca, memahami dan berkongsi kenyataan media tersebut supaya masyarakat terutama di Selangor menerima penjelasan sebenar berdasarkan fakta dan bukannya terpedaya dengan dakwaan atau persepsi pihak tertentu.










