KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen secara rasmi meletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa jam 5 petang, Isnin.
Surat peletakan jawatan berkenaan telah diserahkan secara rasmi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul pada 5 Ogos lalu.
Wong Chen berkata, penyerahan surat berkenaan dibuat lebih awal bagi memberi tempoh tiga hari bekerja kepada pihak pentadbiran Parlimen untuk membuat persiapan serta urusan dokumentasi berhubung kekosongan kerusi Parlimen P.104 Subang.
“Satu persetujuan bersama (gentleman’s agreement) telah dicapai antara saya dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak mengumumkan perkara ini kepada umum sehingga Isnin, 10 Ogos, jam 5 petang.
“Sejajar dengan peletakan jawatan ini, gelaran ‘Yang Berhormat’ pada semua paparan papan tanda, papan iklan, serta urusan surat-menyurat rasmi akan dikeluarkan menjelang bulan depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam surat rasminya, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta seluruh warga Parlimen Malaysia atas sokongan dan kerjasama sepanjang tiga penggal beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.
Beliau dijadualkan bakal mengadakan satu sidang media khas pada Rabu ini, jam 11 pagi bagi menjelaskan lebih lanjut berhubung keputusan berkenaan.










