SEREMBAN: Wanita,Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan secara bersama menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan kerajaan negeri berhubung isu melibatkan institusi Undang Luak Sungai Ujong.
Dalam satu kenyataan media bersama, ketiga-tiga sayap itu mempersoalkan arahan penempatan semula kakitangan Balai Undang Luak Sungai Ujong yang berkuat kuasa 28 April lalu, serta pengosongan Kediaman Rasmi dan balai tersebut pada keesokan harinya.
Menurut mereka, arahan tersebut dikeluarkan ketika Balai Undang Luak Sungai Ujong masih menguruskan pertikaian yang belum selesai melibatkan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong, sekali gus disifatkan sebagai tindakan tidak wajar dan tidak sensitif.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa institusi Undang Luak bukan sekadar entiti pentadbiran biasa, sebaliknya merupakan komponen penting dalam struktur adat Negeri Sembilan yang mempunyai kedudukan tinggi dari segi sejarah, budaya serta peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959.
Sehubungan itu, sebarang tindakan melibatkan kemudahan atau pengurusan institusi berkenaan perlu dilaksanakan dengan penuh tertib dan kebijaksanaan, selaras dengan sensitiviti adat dan persepsi masyarakat.
Ketiga-tiga sayap UMNO itu berpandangan tindakan yang disifatkan sebagai tergesa-gesa tersebut mencerminkan kegagalan Menteri Besar dalam mengurus krisis berkenaan secara bijaksana, sekali gus mengukuhkan alasan kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan beliau sejak tercetusnya isu itu.
Mereka turut menegaskan bahawa isu tersebut bukan berkaitan politik kepartian, sebaliknya menyentuh kegagalan dalam mengurus krisis melibatkan institusi adat serta menjaga maruah dan persepsi rakyat terhadap institusi negeri.
Kenyataan itu dikeluarkan hari ini oleh Wanita UMNO Negeri Sembilan, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan dan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan.










