Wanita ‘Kantoi’ Mencuri Dapat Sumbangan Makanan, Kool Fever Dari Polis

Terkesan dengan nasib seorang wanita yang terpaksa mencuri kerana kesempitan hidup dan mengenangkan perut anak yang lapar, sepasukan polis Daerah Petaling Jaya hari ini bertemu dengan individu berkenaan dan menyampaikan sumbangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata meskipun mencuri adalah satu jenayah, tetapi untuk menghukum keluarga miskin yang sedang kelaparan juga adalah sesuatu yang tidak betul.

Beliau turut turun padang membantu seorang ibu dalam kesusahan yang ditangkap mencuri Kool Fever dan makanan untuk anak-anaknya.

Penolong Pesuruhjaya Polis itu memberitahu bahawa pada semalam beliau dimaklumkan polis daerah menerima laporan kecurian tersebut yang berlaku di sebuah pasar raya.

Suspek kemudiannya ditahan kerana mencuri kek pandan, sosej dan dua pek Kool Fever untuk anak-anaknya.

“Jadi saya pun berasa terpanggil, untuk pergi berjumpalah dengan wanita ini. Saya percaya dia ada masalah, kalau tidak dia takkan buat perkara-perkara macam itu,” katanya pagi tadi menerusi siaran langsung Facebook di laman Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, yang memaparkan beliau dan sekumpulan pegawai pergi melawat keluarga suspek di sebuah flat kos rendah di daerah berkenaan.

Dalam lawatan itu, polis membawa bakul hadiah dan sebungkus beras daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain beberapa barangan keperluan untuk keluarga itu.

Turut diberikan adalah beberapa pek Kool Fever.

Nik Ezanee turut memaklumkan bahawa lima sekeluarga itu sedang berdepan masalah kewangan, dimana suami suspek bekerja sebagai juruteknik lif, tetapi pendapatannya terjejas teruk gara-gara perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kalau lapar, kita (orang dewasa) boleh tahan lagi. Kalau anak-anak kita lapar, itu perkara lain,” katanya.

Ketika pertemuan itu juga Nik Ezanee memberitahu bahawa beliau telah menasihatkan wanita itu agar tidak melakukan jenayah lagi, dan meminta wanita itu meminta bantuan daripada pusat zakat terdekat atau daripada masjid.

Jika mereka sekeluarga terus berdepan dengan situasi menyukarkan, beliau berkata polis mengalu-alukan mereka datang ke balai polis.

BBerkaitan

Latest articles