Anwar Mahu Anthony Loke Kembali Bertugas, Sukar Terima Hasrat Letak Jawatan

PAROI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sukar menerima hasrat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan kerana prestasi dan sumbangannya dalam menerajui kementerian itu.

Beliau berkata, Loke yang kini sedang bercuti telah diminta supaya mempertimbangkan semula keputusan berkenaan dan kembali menjalankan tugas secepat mungkin.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan merupakan antara kementerian besar dan strategik yang memainkan peranan penting menghubungkan rakyat menerusi pelbagai sektor pengangkutan termasuk udara, laut, jalan raya dan lebuh raya.

“Saya beri masa untuk dia berfikir kerana Kementerian Pengangkutan antara kementerian yang besar dan strategik.

“Jadi prestasi beliau baik, membanggakan. Sebab itulah saya selaku Perdana Menteri sukar menerima cadangan beliau untuk meletakkan jawatan walaupun alasan-alasan beliau saya hormat.

“Saya faham, tetapi saya katakan alasan apa pun tidak boleh mengatasi peranan kita untuk mengabdi kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Yakin Madani: Memaknai Harapan Rakyat, Edisi Negeri Sembilan di Paroi pada Sabtu.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Awaludin Said yang mewakili Menteri Besar serta Anthony Loke.

Anwar berkata, beliau turut mengarahkan Loke menghadiri majlis berkenaan walaupun masih bercuti kerana Kementerian Pengangkutan merupakan penganjur bersama kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa ketegangan politik yang berlaku di Negeri Sembilan tidak seharusnya menjejaskan pelaksanaan program dan projek yang telah dirancang untuk rakyat.

Katanya, beliau telah mengarahkan kementerian Persekutuan supaya meneruskan semua komitmen pembangunan di negeri itu tanpa mengambil kira perkembangan politik semasa.

“Politik bertelagah di sini tidak mengapa, tetapi saya tidak mahu rakyat terkorban.

“Sebab itu saya memilih untuk memberitahu Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri supaya jangan menangguhkan program ini kerana apa pun ketegangan di atas, jangan korbankan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, antara projek yang perlu diberi perhatian termasuk laluan Seremban-Kuala Pilah dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM180 juta.

Anwar berkata, kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan 43 projek tebatan banjir di Negeri Sembilan, termasuk empat projek baharu yang merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM2.2 bilion.

Projek berkenaan termasuk tebatan banjir di Sungai Linggi, Seremban; Sungai Gemencheh, Tampin; Sungai Jimah Fasa Dua dan Sungai Si Rusa, Port Dickson.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menyediakan dana mencukupi bagi memastikan pembayaran gaji dan upah penjawat awam Negeri Sembilan tidak terjejas sekiranya berlaku masalah berkaitan perjalanan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kalau tidak selesai, saya beri jaminan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana cukup untuk membayar gaji dan upah.

“Itu jaminan kerajaan. Tidak satu hari pun lambat untuk menerima gaji bagi penjawat awam Negeri Sembilan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles