PAS Gerik Mahu Pertahan Parlimen, Dua DUN

GERIK: PAS Kawasan Gerik memutuskan untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat PAS Kawasan Gerik pada 27 November lalu.

Dalam kenyataan media, PAS Kawasan Gerik turut menyatakan kesediaan untuk bertanding di kedua-dua kerusi DUN di bawah Parlimen Gerik sekiranya berlaku perubahan dalam pembahagian kerusi.

Kedua-dua kerusi DUN berkenaan ialah Pengkalan Hulu dan Temengor.

Pendirian itu dibuat ketika rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti yang berpotensi bekerjasama dalam PRU16 mula menjadi perhatian, khususnya membabitkan BN dan PN.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyuarakan hasrat untuk kembali bertanding di Parlimen Padang Rengas pada PRU16 bagi merampas semula kerusi tradisi UMNO itu.

Nazri turut berpandangan UMNO dan PAS perlu meneruskan kerjasama politik tanpa melibatkan Parti Wawasan Negara (Wawasan), khususnya dalam rundingan pembahagian kerusi.

Beliau berhujah kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU15, termasuk yang kini diwakili wakil rakyat yang menyertai Wawasan, sewajarnya menjadi tuntutan UMNO.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengingatkan supaya kepentingan penyatuan ummah tidak diketepikan kerana kepentingan peribadi.

Dalam kenyataan sebelum ini, Wan Saiful meminta Nazri menyerahkan urusan pembahagian kerusi kepada kepimpinan tertinggi parti dan tidak membiarkan pertimbangan peribadi menjejaskan kerjasama politik.

Beliau turut menjelaskan bahawa kepimpinan tertinggi PN pada dasarnya bersetuju mengekalkan penyandang kerusi dalam pilihan raya akan datang, termasuk prinsip yang digunakan dalam dua pilihan raya negeri sebelum ini.

Perkembangan itu meletakkan isu pembahagian kerusi di Perak antara perkara yang perlu diberi perhatian menjelang PRU16, khususnya apabila kerusi yang pernah dimenangi parti BERSATU kini melibatkan wakil rakyat yang menyertai Wawasan Negara yang kini antara komponen parti dalam PN.

BBerkaitan

Latest articles