KUALA LUMPUR: Penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohan Chinnasamy menyifatkan kejayaan meraih anugerah emas bagi kategori Social Responsibility pada Malaysia Public Relations Awards (MPRA) sebagai satu pengiktirafan bermakna, khususnya terhadap karya pertamanya ketika mula bertugas di Unit Majalah dan Dokumentari (UMD).
Beliau berkata, anugerah itu lebih istimewa apabila program Panorama menerusi episod WCE: Merentasi Pantai Barat yang diterbitkan pada peringkat awal perkhidmatannya di UMD dipilih sebagai pemenang.
Mohan berkata, beliau tidak menyangka episod berkenaan berjaya meraih pengiktirafan pada malam anugerah itu.
“Sudah semestinya saya berasa amat gembira kerana ini merupakan projek pertama saya iaitu Panorama yang bersiaran merentasi Pantai Barat.
“Itu merupakan episod Panorama pertama saya ketika mula-mula bertugas di UMD dan tidak sangka episod itu pula menang,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis anugerah berkenaan malam tadi.
Menurutnya, kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya berkualiti tinggi serta meraih lebih banyak pengiktirafan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan anugerah berkenaan bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya turut membawa nama UMD dan RTM.
“Ini menunjukkan bahawa saya akan terus menghasilkan karya-karya terbaik dan terus memenangi lebih banyak anugerah kerana anugerah ini bukan untuk saya sahaja, tetapi untuk UMD dan juga RTM.
“Segala anugerah yang saya dan RTM terima ini adalah untuk nama RTM,” katanya.
Menerusi anugerah itu, Mohan diiktiraf atas penerbitan Panorama: WCE – Merentasi Pantai Barat yang mengetengahkan aspek tanggungjawab sosial syarikat konsesi West Coast Expressway (WCE) dalam pembinaan lebuh raya berkenaan.
RTM turut mencatat kejayaan membanggakan apabila membawa pulang keseluruhan tiga anugerah pada MPRA, merangkumi dua emas dan satu perak dalam kategori Penyiaran dan Media Sosial.
Majlis anugerah berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail.
MPRA atau Anugerah Perhubungan Awam Malaysia merupakan pengiktirafan tahunan anjuran Persatuan Perhubungan dan Komunikasi Awam Malaysia (PRCA Malaysia) bagi menghargai kecemerlangan dalam bidang komunikasi strategik, perhubungan awam dan media.










