Wakil Rakyat PAS Diingatkan Tentang Baiah, Akan Dipecat Jika Sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Pendedahan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa akan ada lagi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) bakal menyokong Kerajaan Perpaduan, mengundang reaksi PAS.

Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin memberi amaran kepada wakil rakyatnya supaya tidak melupakan baiah dengan parti.

Bahkan PAS juga tidak teragak-agak untuk memecat mereka yang bertindak bertentangan dengan prinsip parti itu, iaitu dengan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu akan dipecat daripada parti, dia tak dikira mewakili PAS dalam Parlimen…tapi kalau dia buat, dia secara automatik akan terpecat,” katanya memetik FMT.

Justeru, Hashim mengingatkan wakil rakyat PAS supaya tidak meninggalkan jemaah untuk menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

“Kepada ahli berhormat, kita dah berikrar dan baiah atas nama Allah, maka kita bukan bertanggungjawab dengan presiden, dengan jawatankuasa pusat sahaja, kita bertanggungjawab dengan Allah.

“Kita akan berhadapan dengan Allah untuk dibicarakan atas apa tindakan yang kita buat. Bicara di hadapan Allah dahsyatlah, sebab Allah tahu apa niat kita, waktu kita lakukan itu.”

Terdahulu Syed Abu Hussin pada hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya terdapat lapan lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional dari beberapa negeri akan menyuarakan sokongan kepada Anwar dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles