PUTRAJAYA: Seorang kenamaan berkemungkinan menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata kemungkinan itu tidak boleh diketepikan, khususnya selepas siasatan terbaharu berkaitan pajakan hartanah dalam pelaburan Al Rawda di Arab Saudi diselesaikan.
Beliau bagaimanapun berkata, sebarang tindakan pendakwaan hanya akan diketahui selepas proses siasatan dan tindakan lanjut selesai.
“Ya, saya tidak menolak kemungkinan seorang VVIP akan didakwa dalam kes berkenaan… namun kita akan umumkan nanti,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Menurut Abd Halim, siasatan berkaitan pelaburan Al Rawda adalah antara agenda terbaharu yang berjaya diselesaikan SPRM setakat ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata dua lagi kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat.
Katanya, kedua-dua kertas berkenaan membabitkan isu TH Marine, TH Alam dan TH Alam Management dengan keseluruhan nilai pelaburan berjumlah RM334.2 juta.
“Kes kedua yang selesai adalah berkaitan dakwaan rasuah dalam pemilikan saham sebanyak 30 peratus oleh Lembaga TH dalam Syarikat Pembinaan Putrajaya Perdana Berhad,” katanya.
Sebelum ini, seorang bekas menteri direman selama lima hari di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan SPRM berkaitan pelaburan TH di Makkah dan Madinah.










