KOTA BHARU: Seorang guru wanita berusia 57 tahun berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tinggi selepas dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya sehingga merempuh pelajar dan meragut nyawa mangsa, Ahad lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta penjara lima hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, guru tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama dua hari bermula semalam hingga hari ini.
“Kes ini akan dirujuk ke mahkamah dalam masa terdekat untuk pertuduhan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas dirempuh kenderaan tersebut berhampiran surau sekolah.
Tragedi itu turut menyentuh hati ramai apabila bapa mangsa dilaporkan rebah melihat keadaan anaknya yang tidak bernyawa di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pemandu SUV jenis Honda HR-V yang dipercayai tertekan pedal minyak secara tidak sengaja.
“Akibatnya, kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke hadapan dan melanggar dua pelajar perempuan di kawasan sekolah,” jelasnya.










