KUALA LUMPUR: Satu larian solidariti sejauh 265 kilometer bakal dianjurkan dari Taiping ke Kuala Lumpur sebagai solidariti menuntut pembelaan terhadap tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
Koordinator Sekretariat Solidariti Bersama DAK, Neow Choo Seong berkata, beliau akan melaksanakan larian solo bermula 17 Jun ini sebelum dijangka tiba di Bangunan Parlimen Malaysia pada 22 Jun depan sebagai simbol sokongan terhadap usaha memperjuangkan kebajikan ketiga-tiga haiwan berkenaan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sekadar aksi simbolik, malah menjadi platform untuk memperluaskan kesedaran masyarakat mengenai nasib Dara, Amoi dan Kelat serta usaha membawa pulang dan memastikan kebajikan mereka terus terbela.
Beliau berkata demikian ketika tampil dalam satu sesi khas di konti Hot FM pagi semalam bagi berkongsi perkembangan terkini berkaitan isu melibatkan tiga ekor gajah tersebut.
Neow yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri II menjelaskan, peningkatan kesedaran rakyat mengenai isu DAK mendorong beliau untuk tampil lebih aktif memastikan suara pencinta hidupan liar terus diberi perhatian.
Katanya, beliau enggan hanya memerhati tanpa tindakan ketika isu berkenaan terus mendapat perhatian masyarakat, sekali gus memilih untuk membawa mesej solidariti itu terus ke Parlimen melalui larian solo sejauh kira-kira 265 kilometer.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai peluang yang diberikan oleh Hot FM kerana menyediakan ruang untuk menyampaikan mesej perjuangan tersebut kepada orang ramai.
“Saya amat menghargai sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap usaha Sekretariat Solidariti Bersama DAK dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu ini.
“Suara anda, harapan mereka,” katanya sambil berharap lebih ramai pihak tampil bersama memperjuangkan nasib Dara, Amoi dan Kelat.










