UMNO Pun Tak Mahu PRU15 Ketika Musim Banjir

KUALA LUMPUR: Bukan UMNO, sebaliknya pihak luar yang membuat andaian kononnya parti itu mahu Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan ketika musim banjir.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan bahawa parti itu amat mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat daripada terburu-buru mahu pilihan raya ketika negara diramal bakal berdepan musim tengkujuh.

Malah UMNO juga tidak pernah memutuskan untuk mengadakan PRU15 pada musim tersebut yang tidak diketahui bila akan berlaku.

“Saya nak ulangi bila masa kita nak buat PRU waktu banjir? Waima UMNO berpandangan nak buat PRU sebelum bermulanya musim banjir.

“Saya nak tanya kita tahu tak bila banjir?” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan kunci rumah secara simbolik oleh kumpulan Emkay melalui anak syarikat Zen Bestari Sdn Bhd, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Emkay, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu terlebih dahulu diajukan mengenai petisyen dalam talian yang dilancarkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membantah PRU15 ketika musim banjir.

Menurut Reezal Merican, beliau ada membaca kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi supaya PRU dibuat sebelum datangnya musim banjir namun semua itu adalah andaian.

Katanya, dalam keadaan apa pun keputusan mengenai tarikh PRU15 perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Sama ada PRU atau tidak dalam tempoh tertentu ini bergantung kepada maklumat yang perlu diperolehi dan diperincikan oleh Perdana Menteri.

“Perdana Menteri kemudian bawa perbincangan kepada Kabinet sebelum dipersembahkan kepada Agong dan diperkenan. Kalau boleh kita lapor cara elok supaya tidak ada andaian yang berbeza-beza,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles