KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, menggesa kerajaan membatalkan penganjuran festival muzik air yang dijadual berlangsung di Bukit Bintang bermula hari ini hingga 2 Mei, dengan alasan ia bercanggah dengan langkah penjimatan yang diumumkan sebelum ini.
Menurut beliau, keputusan meneruskan acara tersebut menimbulkan persoalan memandangkan kerajaan sebelum ini mengambil pendekatan berjimat, termasuk membatalkan penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri.
Katanya, tindakan itu seolah-olah tidak selari apabila sebuah festival yang melibatkan penggunaan air dalam skala besar tetap diteruskan.
“Kerajaan sedang berusaha meningkatkan kapasiti air melalui pembenihan awan, tetapi dalam masa sama ada pihak yang menganjurkan pesta air yang jelas membazirkan sumber,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau turut meminta penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, serta pihak mufti berhubung pendirian terhadap penganjuran acara berkenaan.
Akmal juga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya menilai semula kelulusan festival tersebut, selain menggesa tindakan tegas diambil terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Terdahulu, Tiong menafikan dakwaan tular yang menyifatkan penganjuran acara itu sebagai tidak wajar, sebaliknya menegaskan ia merupakan program tahunan yang turut merangkumi sambutan Hari Buruh Sedunia dan Rain Rave Water Music Festival.
Menurutnya, kedua-dua acara tersebut adalah sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bertujuan merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi ibu negara.
Sementara itu, pada Januari lalu, Pemuda PAS Selangor turut menyuarakan kebimbangan terhadap penganjuran festival tersebut, dengan menggesa agar lokasi, skala dan konsep acara dinilai semula agar lebih mencerminkan identiti tempatan serta sesuai dengan sensitiviti masyarakat.










